Kecoh Di Low Yat: PDRM Sahkan 17 Ditahan, Suspek Kes Curi Positif Dadah


Laporan susulan dari situasi tegang yang berlaku di pusat beli-belah Plaza Low Yat pada malam semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 17 individu bagi membantu siasatan.

Sebelum itu, pihak berkuasa terlebih dahulu menahan seorang pemuda yang juga suspek kes kecurian telefon bimbit di sebuah premis di situ.

Memetik kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa dalam satu sidang media petang tadi, beliau turut mengesahkan bahawa suspek yang kini sedang ditahan reman selama tiga hari juga diperiksa positif dadah.

“Suspek kini ditahan reman tiga hari bagi membantu siasatan dan hasil siasatan mendapati suspek turut positif dadah,” katanya.

Beliau turut berkata, individu-individu yang ditahan berusia sekitar 16 tahun sehingga 40 tahun dan pihaknya kini sedang menunggu perintah tahanan reman daripada Mahkamah Majistret.

Dalam pada itu, tujuh individu dilaporkan cedera termasuk tiga pemberita yang hadir semalam.

Isu tersebut menjadi panas sejak tersebarnya rakaman video dari pengunjung plaza Sabtu lalu sebelum ia menjadi semakin besar apabila pihak-pihak berhimpun dan menimbulkan kekecohan di perkarangan Low Yat, malam tadi. -Kedahnews.com