Ahmad Morad menunjukkan keadaan bumbung kediamannya yang diterbangkan angin. |
ALOR SETAR - Kedatangan Syawal bagi lima keluarga di Kampung Padang
Luar/Tok Sibil, Tajar, di sini, seolah-olah tidak bermakna tahun ini
apabila ditimpa musibah.
Lebih menyedihkan, kebanyakan kediaman penduduk setempat ranap
diterbangkan angin ribut petang kelmarin iaitu beberapa hari lagi
sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, 17 penduduk dari lima
keluarga di perkampungan tersebut terpaksa berbumbung langit disebabkan
kejadian angin ribut itu.
Berbuka puasa bercahayakan lilin
Mangsa, Hasnah Ayub, 60, berkata, mereka sekeluarga terpaksa berbuka puasa bercahayakan lilin.
“Akibat ribut yang diselangi dengan hujan, bekalan elektrik terpaksa
dipotong bagi memastikan ia tidak membahayakan kami sekeluarga.
“Disebabkan itu, kami sekeluarga terpaksa berbuka puasa dalam kegelapan, sambil berteduh di ruang depan rumah,” katanya.
Hasnah berkata, dia tinggal bersendirian, manakala suaminya, Ahmad Morad, 68, keluar ketika kejadian berlaku.
Katanya, dia menerima dugaan sedemikian, bagaimanapun sedih memikirkan nasib mereka memandangkan raya hampir tiba.
Apatah lagi, katanya, lebih 80 peratus barang kelengkapan kediaman rosak teruk, termasuk peti ais, televisyen dan perabot
Katanya, dia berharap menerima bantuan segera memandangkan suaminya
hanya bekerja sebagai tukang gunting, manakala dia hanya membantu di
kedai makan berdekatan rumah mereka.
Raya tiada makna
Manakala, Sofiah Awang Ahmad, 63, berkata, dia dan anak lelakinya
berada di ruang tamu sewaktu ribut secara tiba-tiba melanda kediaman
mereka.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak menyangka mereka terpaksa berbumbung
langit memandangkan angin kuat berlaku dalam tempoh lima minit sahaja.
"Saya hanya sempat melaungkan ‘Allahuakbar’ disebabkan terkejut mendengar bunyi angin kuat ini.
"Walaupun masih belum membuat persiapan raya, namun Aidilfitri kali ini seolah-olah tidak bermakna," katanya.
Katanya, dia asyik terfikir bagaimana mereka sekeluarga akan beraya tahun ini disebabkan keadaan kediaman sedemikian.
"Beberapa peralatan basah terkena air hujan, manakala rumah bergenang
air disebabkan bumbung kediaman hanya dilitupi plastik sahaja," katanya.
Lima kediaman rosak
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais
berkata, kira-kira lima kediaman di kawasan berkenaan rosak melalui
siasatan dilakukan mereka.
“Bagaimanapun, tiga dari lima kediaman mengalami kerosakan serius. Oleh
itu, bantuan segera bencana akan disampaikan oleh Penyelaras Dun, Abdul
Malik Saad kepada mereka,” katanya.
Syahrul berkata, bantuan lain kepada mangsa ribut berkenaan akan diberikan selepas siasatan siap dijalankan.
Sementara itu, Pegawai Khas Adun Alor Mengkudu, Mohd Amin Ismail
berkata, pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu memberi
bantuan wang tunai bagi meringankan bebanan mereka.
Lagipun, katanya, mangsa ribut berkenaan memerlukan bantuan bagi
membolehkan mereka juga menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti insan
lain.
"Justeru itu, kami akan melancarkan Tabung Bantuan Bencana menerusi
akaun Bank Islam PKWR N14 020 840 100 365 69 untuk bantuan susulan
kepada mangsa ribut terlibat," katanya.
Sumber: Sinar Harian