Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar |
ALOR SETAR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan keras dakwaan yang cuba mengaitkan kematian pengasas AmBank pada tahun 2013 mempunyai sebarang hubung kait dengan isu 1MDB yang hangat diperkatakan kini.
Khalid yang menolak tanggapan semberono itu menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah sama sekali tidak berasas dan pihaknya akan menyiasat serta mencari dalang yang menyebarkan dakwaan tidak bertanggungjawab itu.
“Kematian pengasas AmBank tiada kaitan dengan isu kontroversi 1MDB dan ini adalah dakwaan yang tidak bertanggungjawab," kata beliau yang dipetik dari The Rakyat Post, semalam.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam menggesa Khalid supaya membuka semula kertas siasatan mengenai kes pembunuhan Hussein yang ditembak mati di Bukit Bintang pada Julai 2013.
Menurut Ahli Parlimen Gelang Patah itu, Hussein kononnya dikatakan telah pergi melaporkan kepada Bank Negara mengenai sejumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mac 2013.
Untuk rekod, Hussein maut di tempat kejadian sementara isterinya, Chong Mei Kuan cedera parah apabila mereka ditembak dari jarak dekat berdekatan tempat letak kereta di sebuah kuil Cina di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur.
Dakwaan yang mengaitkan kematian pengasas Ambank itu dengan isu 1MDB telah dibuat oleh sebuah portal Sarawak Report yang kini disiasat pihak berkuasa berkenaan laporan tidak benar mengenai isu 1MDB. -Kedahnews.com