Kenyataan Mukhriz Mengenai Penangguhan Pemilihan UMNO 2016

Azeez Rahim menyampaikan sumbangan kepada wakil kawasan Jerlun, Mukhriz Mahathir
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan bahawa penangguhan pemilihan pucuk pimpinan UMNO 2016 selama 18 bulan merupakan keputusan bersama seluruh Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti tersebut.

Kata beliau, keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti itu dibuat dalam satu mesyuarat setelah dibincangkan secara panjang lebar oleh Ahli Majlis Tertinggi.

"Penanggguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan telah dibincangkan, agak panjang lebar dalam mesyuarat Majlis Tertinggi baru-baru ini.

"Jadi ianya (penangguhan) keputusan majlis mesyuarat, kata Mukhriz kepada Kedahnews.com ketika melancarkan Program Agihan Kuram, Air Zam-Zam dan Kain Baju Melayu Peringkat Negeri Kedah, di perkarangan Wisma Darulaman, sebentar tadi.

Jelas Mukhriz, beliau sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan seluruh warga parti itu di peringkat negeri, akur dengan keputusan tersebut, serta akan maklumkan tentang keputusan itu ke semua peringkat di seluruh peringkat negeri.

"Di peringkat negeri pun kami akur, dan kami akan maklumkan kepada semua bahagian-bahagian (UMNO)," ujar beliau.

Di majlis berkenaan, Mukhriz turut menyerahkan sumbangan dari Biro Kebajikan UMNO kepada semua 603 buah masjid yang terdapat di seluruh daerah di negeri Kedah, yang berupa 10 kilogram tamar, 10 liter air Zam-Zam dan 15 pasang kain baju Melayu.


Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengerusi Biro berkenaaan, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, barisan Exco Kerajaan Negeri Kedah, kepimpinan parti pemerintah dan wakil-wakil dari bahagian di negeri itu.



Sebelum itu, difahamkan bahawa Abdul Azeez melancarkan program yang sama bagi peringkat negeri Perlis membabitkan sumbangan Biro Kebajikan UMNO kepada 103 buah masjid di seluruh negeri itu, pagi tadi. -Kedahnews.com