Kes Bayi 4 Bulan Koma Di Alor Setar Dalam Siasatan, Tiada Tangkapan

Putri Wafa Saifudin masih koma di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar
ALOR SETAR – Polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian bayi perempuan berusia empat bulan, Putri Wafa Saifudin yang koma selepas mengalami pendarahan pada otak dan mata disyaki akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata pusat jagaan yang menempatkan bayi malang itu telah beroperasi sejak tiga tahun lepas dan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata berdasarkan pemeriksaan dan ujian dijalankan mendapati bayi itu mengalami pendarahan pada bahagian kedua-dua belah mata dan otak.

Beliau berkata bayi yang dalam keadaan koma itu masih berada di tahap kritikal dan di bawah jagaan rapi doktor pakar di wad rawatan rapi kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Dr Norhizan berkata hasil ujian makmal dan imbasan sinar X pada tulang dan keseluruhan badan tiada menunjukkan tanda-tanda kecederaan pada bayi itu.

“Bayi berkenaan menggunakan alat bantuan pernafasan. Bayi ini lahir normal tanpa sebarang penyakit. Tidak pernah ada rekod sawan. Perdarahan otak antara tanda-tandanya adalah sawan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya memandangkan bayi mengalamai perdarahan pada mata dan otak dengan tiada tanda kecederaan, pihak hospital telah berbincang dengan bapa bayi berkenaan Saifudin Seman, 26, yang bersetuju untuk membuat laporan polis.

Saifudin mendakwa bayi perempuannya itu mengalami pendarahan pada otak dan mata dipercayai didera atau kecuaian daripada pengasuh di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak.

Katanya bayinya itu dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani Rabu lepas oleh pemilik pusat jagaan itu selepas mengalami sawan dan tidak sedarkan diri.

Anggota tentera dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Sungai Petani itu berkata disebabkan berada dalam keadaan kritikal, bayinya kemudian dirujuk ke HSB untuk mendapat rawatan lanjut pada hari kejadian. – BERNAMA