Kes Muhdalena: Mahkamah Tetap Tarikh Dengar Rayuan 20 September Ini

Bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Muhdalena Ahmad 
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 30 September ini untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Putrajaya yang melepaskan Muhdalena Ahmad daripada tuduhan ugutan jenayah dan miliki senjata dalam kejadian amuk bersama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri, pada Julai 2012.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar memberitahu pemberita bahawa tarikh itu ditetapkan di hadapan Timbalan Pendaftar Noor Aini Yusof tanpa kehadiran Muhdalena dan peguamnya.

Katanya, rayuan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kamardin Hashim.

Pada 19 Jun tahun lepas, Mahkamah Sesyen Putrajaya, melepaskan Muhdalena, yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, daripada empat pertuduhan mengikut kesalahan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya dalam kejadian amuk itu.

Mahkamah mendapati tertuduh mengalami ketidaksempurnaan akal semasa kejadian dan memerintahkannya ditahan dengan selamat di Hospital Permai Tampoi, Johor sementara menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong. – BERNAMA