KUALA LUMPUR - CUEPACS mengalu-alukan rombakan kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ke arah memantapkan lagi pentadbiran kerajaan.
Presidennya, Datuk Azih Muda berkata: "Apa yang dibuat oleh Perdana Menteri, saya ingat ia ke arah kebaikan bukan untuk menyisihkan sesiapa, tetapi hendak memantapkan pentadbiran kerajaan dan CUEPACS daripada dahulu lagi tetap teguh bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri".
"CUEPACS telah tegaskan bahawa kami menyokong apa jua perancangan, apa jua dasar, apa jua tindakan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri," katanya.
"Pada pendapat kami, rombakan ini ataupun penyusunan ini perlu dibuat enam atau tujuh bulan dahulu, bukan sekarang, dan kalau kerajaan tidak stabil, macam mana keadaan kami penjawat awam ini?,” katanya pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Cuepacs di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Azih berkata, CUEPACS yakin barisan kabinet baharu yang dibentuk oleh Perdana Menteri semalam akan lebih bekerjasama, lebih erat, berpadu dalam satu wadah dan matlamat untuk menjadi kerajaan yang lebih kukuh.
"Pertama kita mahu sebuah negara yang aman damai. Kedua kita tak nak supaya dalam negara ini ada huru-hara dari segi pertembungan dan perbalahan politik yang akhirnya mengheret rakyat sama ada ke jalan raya, dan menggunakan pena ataupun menggunakan hujung jari mereka untuk menjatuhkan kerajaan. Ini tidak bagus.
"Kita tahu kalau negara kita Malaysia sebuah negara yang majmuk, berbilang kaum, berbilang agama dan berbagai-bagai budaya jika mereka ini tidak disatukan dalam kekuatan pentadbiran kerajaan, saya amat bimbang," katanya.
Beliau yakin tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri bertujuan untuk memastikan bahawa kerajaan yang dipilih oleh rakyat dapat memberi perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.- BERNAMA