Kesihatan Kunci Utama Laksana Ibadah Haji Pada Zulkaedah Ini


ZULKAEDAH akan muncul tidak lama lagi dan jemaah haji akan mula bertolak ke tanah suci bagi mengerjakan rukun Islam yang ke 5. 

Perjalanan ke tanah suci adalah salah satu perkara yang ditunggu oleh semua orang Islam. Ia merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba terhadap Allah daripada segi pengorbanan masa, tenaga, harta benda dan terpaksa menghadapi pelbagai ujian dengan penuh kesabaran.

Sebagaimana yang kita maklum, jangka masa menunggu giliran menunaikan haji mengambil masa yang agak panjang. Sekiranya tidak dilaksanakan dengan betul, peluang melakukan pada kali kedua semacam amat mustahil dengan tahun menunggu giliran yang amat lama.

Tahap kesihatan yang baik adalah kunci utama ke arah pelaksanaan ibadah haji yang sempurna. Walaupun telah menghadiri kursus ibadah haji tanpa jemu, sekiranya kesihatan badan tidak dijaga dengan baik maka perlaksanaan ibadah haji tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

CABARAN MUSIM INI

Musim haji tahun ini akan bertembung dengan cuaca panas. Suhu pada siang hari boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius. Pendedahan yang lama dan penggunaan tenaga yang berlebihan dalam cuaca yang panas boleh menyebabkan kekurangan air dan kandungan garam mineral di dalam badan.

Dijangkakan terdapat peningkatan kes-kes yang berkaitan dengan cuaca panas seperti dehidrasi dan keletihan panas (heat exhaustion). Di antara tanda keletihan panas adalah pening kepala, sesak nafas, loya, menjadi keliru, kulit dan lidah kering dan suhu badan naik sehingga 41 darjah Celsius.

Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, ia akan menjadi teruk hingga ke tahap kejutan panas (heat stroke) dan pesakit boleh pengsan dan mendapat sawan. Untuk mengelakkannya, jangan dedahkan badan kepada matahari terik begitu lama, banyakan minum air dan elakkan memakai pakaian yang tebal ketika cuaca panas.

Jemaah boleh membasahkan tuala dan meletakkan di muka dan kepala semasa berjalan kaki ke masjid. Sila dapatkan rawatan segera sekiranya terdapat tanda-tanda penyakit seperti yang disebutkan di atas.

Lulus pemeriksaan kesihatan dan mendapat akuan doktor merupakan salah satu daripada peraturan kerajaan Arab Saudi sebelum diluluskan mendapat visa haji. Bakal haji dinasihatkan agar jangan menyembunyikan penyakit yang mereka hidapi semata-mata untuk mendapatkan kelulusan kesihatan.

Dengan pemeriksaan kesihatan yang sempurna, penyakit boleh dikesan lebih awal dan rawatan dapat dimulakan. Pada masa ini sebahagian besar bakal haji telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan diharap semua perihal kesihatan dicatat di dalam Buku Rekod Rawatan Jemaah Haji yang dibekalkan oleh Lembaga Tabung Haji.

Sumber: Utusan