Kisah Gadis Kurang Rupawan DiHina Di Instagram

Menurut kajian, dilaporkan hampir majoriti pengguna media sosial di seluruh dunia termasuk di laman popular seperti Facebook sering memaparkan wajah mereka yang konon kacak, lawa, ayu, comel dan pelbagai lagi walaupun hakikatnya secara realiti adalah sebaliknya.
Jarang benar ada yang berani dan tidak malu menonjolkan muka sebenar, apatah lagi jika wajah tersebut tidak hensem, tidak lawa, kurang jelita dan seumpamanya, semata-mata bagi mengaburi para pengikut mereka, kononnya pengguna tersebut memiliki penampilan sempurna.
Bahkan kajian syarikat Facebook mendapati, lebih 83 juta pengguna laman itu didapati memalsukan wajah asal mereka dengan memuat naik muka individu lain sama ada untuk kepentingan peribadi atau dijadikan akaun palsu.
Namun, lain pula kisah seorang pengguna laman Instagram dikenali sebagai Zati Salam yang amat menyentuh hati kebanyakan netizen di negara kita apabila bersikap jujur berkongsi wajahnya yang tidak dikategorikan sebagai cantik menawan.
Gadis berkenaan bukan sahaja dicemuh, malah dihina pengguna lain gara-gara memaparkan wajah sebenarnya di laman sosial tersebut.
Menurut laman Facebook Real Johoreans Supporter, gadis yang mengaku berusia baru 18 tahun ini dipercayai telah memuat turun beberapa keping gambar rupa sebenar dirinya lebih sebulan lalu bagi mencari kenalan di alam siber sebagaimana pengguna lain.
Malangnya dia yang menggunakan nama rujukan "Niaszatie" tidak menyangka ramai pengguna lain memperlekeh muka dirinya itu bahkan ada mempermainkan wanita itu sebagai memakai topeng berwajah hodoh untuk mencari publisiti dan glamor.
Namun, segala-galanya berubah secara drastik apabila dia kemudian mungkin berasa amat malu akhirnya membalas semula kritikan mereka itu dengan sekadar menjawab “ni bukan topeng, ni muka saya”.
Jawapan jujur dan spontan Niaszatie tersebut amat menyentuh hati ramai pengguna lain dan hendak tahu apa yang berlaku; pengikut wanita itu tiba-tiba melonjak lebih 2,000 orang dalam masa kurang 12 jam sahaja.
Real Johoreans Supporter, dalam reaksi susulan berkata, beberapa pengguna yang selama ini dikesan galak mengaibkan niaszatie didapati ‘lenyap’ bahkan ada memadam gambar-gambar mereka menerusi instagram.
Moral ceritanya amat mudah, usahlah kita menghina ciptaan Allah SWT kerana mereka juga makhluk Tuhan dan barang kali orang yang dihina itu jauh lebih mulia daripada si penghina tersebut, bukan? Wallahua'alam. -Kedahnews.com