Gambar Hiasan |
"Ya Allah, berkatilah bagi kami bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan kami ke bulan Ramadan. Ini menunjukkan Nabi SAW sendiri memuliakan Ramadan"
Bukan sekadar saat tiba Ramadan, bahkan dua bulan sebelumnya lagi iaitu pada bulan Rejab, Nabi SAW sudah bersedia. Doa ini juga menjadi amalan kita saban tahun dan ternyata hari ini Allah SWT telah memakbulkan permintaan kita untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.
Daripada segi sejarah pensyariatannya, kewajipan yang kedua bagi umat Islam ini telah difardukan pada tahun kedua Hijrah iaitu kira-kira tahun ke-15 bermulanya Islam. Ia difardukan selepas kefarduan solat pada tahun ke-12 bermulanya Islam melalui peristiwa Israk dan Mikraj.
Sebelum diwajibkan berpuasa dalam bulan Ramadan, umat Islam terlebih dahulu diwajibkan berpuasa pada Hari Asyura iaitu hari ke-10 bulan Muharam seperti yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar ra;
“Rasulullah SAW telah berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabat berpuasa pada hari tersebut. Apabila difardukan puasa pada bulan Ramadan, maka puasa hari Asyura tidak lagi dilakukan sebagai ibadah wajib.”
Bulan Ramadan bukanlah bulan yang melemahkan umatnya. Bulan barakah ini sebenarnya mendidik dan menjadikan umat Islam lebih kuat dari bulan-bulan biasa. Jika kita merenung sejarah, terdapat beberapa peristiwa-peristiwa besar yang telah berlaku dalam bulan Ramadan.
Gambar Hiasan |
Namun Allah SWT menangkan tentera Muslimin seperti yang terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat ke-123 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah menolong kalian dalam peperangan Badar, padahal kalian adalah (ketika itu) lemah. Kerana itu, bertakwalah kepada Allah SWT, supaya kalian mensyukuri-Nya."
Perang Khandak yang menjadi simbolik pertolongan Allah SWT kepada umat Islam dengan dihancurkan tentera Ahzab juga bermula persiapannya dalam bulan Ramadan.
Walaupun peperangan itu berlaku selepas Ramadan tetapi persiapan dan kerja-kerja mengorek parit yang sangat mencabar telah dilakukan dalam bulan Ramadan. Begitu pun, umat Islam diberi kekuatan menghadapinya.
Perang Salib juga berlaku dalam bulan Ramadan setelah mana perjanjian genjatan senjata dilanggar oleh puak Salib. Salahuddin al-Ayyubi memimpin tenteranya dengan keimanan dan akhirnya beroleh kemenangan.
Perang Salib juga berlaku dalam bulan Ramadan setelah mana perjanjian genjatan senjata dilanggar oleh puak Salib. Salahuddin al-Ayyubi memimpin tenteranya dengan keimanan dan akhirnya beroleh kemenangan.
Madrasah terbaik
Banyak lagi peristiwa-peristiwa besar berlaku dalam bulan Ramadan. Pada tahun lalu, kita juga menyaksikan umat Islam di Palestin berdepan dengan kekejaman rejim zionis Israel di mana insiden ini juga berlaku dalam bulan Ramadan.
Bangsa penindas itu menghancurkan kediaman, masjid, hospital dan sekolah-sekolah tanpa belas kasihan. Hamas membalas serangan tersebut dengan hanya menggunakan roket-roket ciptaan sendiri hingga menembusi iron dome yang dianggap penyelamat Israel.
Serangan Hamas sebagai membela umat Islam ini akhirnya mendesak Israel untuk menghentikan serangan ke atas umat Islam dan akhirnya Israel terpaksa akur dengan syarat-syarat yang ditetapkan Hamas hingga menampakkan ketakutan Israel terhadap umat Islam.
Sekali lagi ditegaskan, peristiwa ini berlaku di kala umat Islam menahan lapar dan dahaga dalam bulan Ramadan.
Daripada peristiwa-peristiwa ini maka terbuktilah Ramadan bukan bulan yang melemahkan umat Islam sebaliknya menguatkan lagi umatnya. Ini memberi jawapan kepada kita bahawa umat Islam kuat bukanlah pada fizikalnya semata-mata, bukan juga pada kuantiti umatnya tetapi umat Islam kuat apabila kita berjaya menundukkan nafsu kita terlebih dahulu.
Berpuasa menjadikan nafsu lemah dan diri kita dapat menguasai nafsu. Inilah rahsia kekuatan yang sebenar umat Islam dalam bulan Ramadan.
Ketika para sahabat dan Rasulullah SAW kembali dari perang Badar, baginda bersabda:
“Kita kembali daripada peperangan kecil, menuju kepada peperangan yang lebih besar iaitu peperangan terhadap hawa nafsu.” (riwayat al-Baihaqi)
Moga Ramadan kali ini menjadi madrasah terbaik bagi kita untuk mendidik nafsu dan diri supaya menjadi hamba yang berkualiti di sisi Allah SWT.
Sumber: Utusan