Disebabkan terlalu ramai pengunjung ke laman blog MohdZarin.com, pemiliknya mendakwa blog miliknya itu telah "down" ekoran kesesakan trafik yang terlampau gara-gara satu penulisannya mengenai penganjuran Mood Republik KL yang berlangsung di PWTC.
Pemiliknya yang turut mengunjungi festival raya yang disertai oleh pengeluar 300 jenama terunggul di Malaysia itu meluahkan kritikan terhadap penganjuran itu yang disifatkan seolah "cakap tidak serupa bikin".
Khabarnya, meskipun menjanjikan duit raya bernilai RM100, RM50 dan RM20, ada yang pulang dengan wajah sedih kerana hanya RM2 sahaja yang terkandung dalam paket "angpau" raya yang diberi.
Kedahnews.com tidak berkesempatan untuk ke festival raya berkenaan kerana dianjur di ibu negara, namun menerusi tulisan pemilik blog MohdZarin.com di bawah, mungkin ia sedikit sebanyak dapat membayangkan apa yang berlaku di festival berkenaan...
Apa itu Mood Republik?
Mood Republik adalah Festival raya terbesar (apa yang dimaklumkan) dan setiap tahun pasti menerima ratusan ribu pengunjung. Pada tahun ini, Mood Republik diadakan di PWTC dan lebih 300 jenama mempromosikan barangan masing-masing. Mood Republik terkenal dengan lautan manusia yang membanjiri pintu masuk sebaik saja pintu masuk dibuka. Fenomena ini menjadi trademark buat penganjuran Mood Republik.
8 Fakta Mengenai Mood Republik
1. Terdapat 300 Jenama Terunggul di Malaysia
2. 100,000 goodies bagi pengunjung terawal
3. Diadakan di dewan paling besar di PWTC
4. 3000 ruang parking, Kemudahan berbuka/solat
5. Promosi luar biasa iaitu di LED Terbesar di Asia Tenggara
6. 1,000 pengunjung pertama bakal menerima duit raya dari CEO Mood Republik bernilai RM100, RM50 & RM20
7. Masuk PERCUMA.
Untuk merasai sendiri pengalaman untuk menjadi 1000 orang pertama, saya telah sampai seawal jam 5 pagi di PWTC pada hari pertama. Tak sangka rupanya dah ramai yang sampai lebih awal dari saya. Sekurang-kurangnya lebih kurang 100 orang telah bermalam di PWTC kerana masing-masing telah diberi nombor giliran sejak semalam dan tidak mahu terlepas sebarang pengumuman. Kebanyakkan dari mereka tidur bergelimpangan dikaki lima PWTC entah dari pukul berapa.
Apa yang berlaku pada awal pagi?
6:00am
Tepat jam 6pagi, petugas Mood Republik membuat pengumuman dan briefing mengenai nombor giliran. Pada masa tu saya rasa pengunjung baru lebih kurang 200 orang saja. Alhamdullilah saya mendapat nombor 176 ketika itu. Hampir 1 jam kami disusun mengikut nombor dan seterusnya diminta duduk dilantai. Kami disusun mengikut bentuk L dan dimaklumkan akan berkumpul semula sekitar jam 8pagi.
7:30am
Walaupun belum ada apa-apa arahan, tapi pengunjung lain dah mula sampai. Masa ni ada petugas Mood Republik yang standby dan bagi arahan untuk duduk dan memberi nombor giliran yang baru kepada pengunjung yang baru sampai. Walaupun belum jam 8 pagi tapi lobby PWTC dah hampir nak penuh. Ada juga pengunjung yang membawa kanak-kanak.
8.30am
Nampaknya masih belum ada arahan dari pihak penganjur dan kami semua masih menunggu dilantai masing-masing. Orang dah semakin ramai dan dalam sedar tak sedar rupanya proses memberi nombor telah berlarutan hingga ke nombor 700++. Mereka yang memegang nombor ini semua duduk jauh dari kaunter pendaftaran dan berhampiran dengan tangga. Kebanyakkan dari mereka akur dengan arahan pihak penganjur.
9.00am
Pengunjung yang baru sampaipun bertambah ramai. Pihak pengurusan memberhentikan proses penyerahan nombor kerana nombor sudah mencecah 1,000. Pengunjung yang baru sampai tidak dapat berbuat apa-apa selain berdiri dan menunggu saja.
9.30am
Suasana di lobby terlalu ramai sehingga pengunjung yang baru sampai pun tiada tempat berdiri. Pihak penganjur memberitahu kepada pengunjung yang baru sampai supaya masuk selepas 1000 orang yang pertama. Orang ramai berdiri di mana saja yang mereka boleh sehingga sebenarnya dah tiada tempat untuk bergerak walaupun sedikit. Ruang menunggu bagi 1000 pertama tadi tu pun dah berpecah. Lautan manusia dah mula membanjiri lobby PWTC.
10.15am
CEO Mood Republik tak sampai-sampai lagi walaupun dijanjikan proses penyerahan goodies adalah pada jam 10am. Pengunjung yang tidak mempunyai nombor tidak tahu apa yang harus ditunggu kerana tiada maklumat dari penganjur. Kebanyakkan dari mereka hanya ingin masuk ke dewan utama untuk membeli belah. Tetapi rupaya semua pengunjung harus mempunyai cop tangan yang mana proses untuk cop tangan ini adalah proses dan laluan yang sama untuk menerima goodies.
Pengunjung mula berang dan beberapa kali pengunjung menjerit “boo” kepada penganjur. Saya tak pasti samaada memang tiada aircond tetapi suasana menjadi terlalu panas. Sedang semua orang menunggu CEO, ada pula petugas dari booth mana yang memberikan sticker promosi produk kepada beberapa orang pengunjung. Oleh kerana semua pengunjung tak tahu itu adalah hanya sticker promosi, kebanyakkan dari pengunjung berebut-rebut sticker tu sehingga berlaku kekecohan. Mereka menyangkakan sticker itu adalah sticker untuk membolehkan masuk ke dewan utama ataupun sticker cabutan bertuah.
10.30am
Barulah CEO sampai dengan bangganya. Di dalam keadaan yang terlalu padat sehingga tidak boleh bergerak, saya lihat tiada langsung arahan atauapun panduan yang diberi oleh pihak penganjur. Ada diantara mereka yang mengambil gambar dari dalam kaunter dengan muka gembira kerana event mereka telah berjaya dan ramai orang datang.
CEO pun tak banyak cakap dan sepatahpun tak memohon maaf. Proses memberi goodies terus dijalankan tanpa mengambil kira faktor keselamatan orang ramai yang ketika itu terlalu padat dan marah. Semua pengunjung baik yang ada nombor atau tidak merempuh ke arah CEO untuk mengambil goodies dan duit raya. Pengunjung yang tidak mempunyai nombor tidak tahu mengapa mereka harus berbuat demikian tetapi kebanyakkan dari mereka tiada pilihan lain kerana sedang diasak dari belakang.
Pengunjung yang mempunyai nombor diberikan beberapa goodies bag dan sampul raya. Proses penyerahan ini sudah tidak mengikut nombor lagi. Saya tak dapat bayangkan apa yang pemegang nombor 500 ataupun 700 terpaksa lalui untuk mendapatkan goodies tersebut. Sedangkan saya yang memegang nombor 176 pun terpaksa berebut-rebut. Pengunjung yang tidak mempunyai nombor tetapi berjaya tiba dikaunter pula terus dihalau dan disuruh beratur semula. Saya tak salahkan mereka, sebab mereka tak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Kebanyakkan dari mereka hanya mahukan cop tangan untuk dibenarkan masuk ke dewan utama. Ada juga krew pihak penganjur yang mengugut pengunjung untuk ke belakang sedikit sebelum dia menolak dengan kasar. Sikap keanak-anakan ini mencerminkan, pihak penganjur tidak bersedia menghadapi pengunjung yang terlalu ramai. Setelah lebih 1 jam gagal mengawal keadaan, akhirnya pihak penganjur membenarkan orang ramai masuk saja ke dewan utama tanpa cop tangan.
Saya juga kecewa kerana saya hanya menerima RM2 di dalam sampul raya. Kalau nak ikutkan seperti yang dijanji, sekurang-kurangnya saya mendapat RM20. Tetapi bukanlah duit yang saya inginkan, tetapi inilah selling point yang mereka sering jual dan sudah pastinya harus dikotakan.
Oleh kerana tidak berpuas hati dengan kejadian ketika pagi tadi, saya memberikan pendapat dan komen di Instagram @moodrepublik. Komen saya tidaklah kasar malahan memberikan gambaran yang sebenar. Namun begitu, tak sangka pihak pengurusan mem“block” akaun instagram saya dan menghalang dari melihat update di instagram @moodrepublik. Perkara ini berlaku kepada ramai pengunjung dan bila dilihat semula sekurang-kurangnya 2,000 pemilik akaun instagram di”block” oleh @moodrepublik. Mereka juga turut menukar instagram mereka kepada mode Private.
Strategi apakah ini? Mereka malas untuk meminta maaf secara terbuka tetapi rajin untuk block 2,000 pengikut diinstagram. Saya rasa ini adalah kesilapan terbesar pihak penganjur. - MohdZarin.com
Apa pun, Kedahnews.com tumpang berbangga dengan penganjuran acara mega yang berjaya dilakukan oleh anak-anak Melayu di PWTC yang mencatat jumlah pengunjung paling ramai dalam tempoh 30 tahun.
Cuma seharusnya penganjur mungkin perlu lebih profesional dan berlapang dada untuk menerima segala kritikan demi penambahbaikan pada masa akan datang, bukan?
Bagi yang masih belum ada baju raya dan berhasrat untuk mendapatkannya dengan kos yang berpatutan, bolehlah berkunjung ke Mood Republik di PWTC yang dibuka sehingga esok bagi mendapatkan baju raya yang berkualiti. -Kedahnews.com