Keadaan Mohd Zaid disebabkan penyakit buerger dihidapinya. |
ALOR SETAR - Seorang isteri buntu memikirkan kos perubatan suaminya, Mohd Zaid Ismail, 32, yang menghidap penyakit buerger sejak 2011 lalu, dianggarkan mencecah RM1,000 setiap bulan.
Aziroh Ahmad, 28, berkata, meskipun ada menerima bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun ia nyata tidak mencukupi.
"Kira-kira RM1,000 sebulan diperlukan untuk ubat-ubatan suami, antaranya tiga botol ubat pencair darah berharga RM288 dan RM180 bagi ubat dikenali Dermacyn.
"Itu pun, belum termasuk dua kotak ubat untuk mengurangkan kesakitan suami yang dianggarkan berharga RM640," katanya.
Menurutnya, kos ubat-ubatan bertambah apabila suaminya memerlukan ubat pencair darah yang dosnya lebih kuat untuk mengurangkan kesakitan.
Katanya, dia juga terpaksa memperuntukkan sejumlah wang untuk kos pengangkutan suaminya dari Kampung Paya Lipai, Pendang ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebanyak tiga kali seminggu.
"Saya memang tidak berkemampuan untuk tampung kos perubatan suami memandangkan hanya mencari rezeki dengan membuka gerai secara kecil-kecilan.
"Pendapatan diperoleh tidak menentu, malah saya jarang dapat buka gerai sebab kerap kali bawa suami ke hospital," katanya.
Dalam pada itu, Aziroh berkata, walaupun sakit, Mohd Zaid kerap membantunya berniaga di gerai namun selepas kerusi roda rosak suaminya tidak dapat berbuat demikian.
"Saya terpaksa pinjam kerusi roda saudara selepas kerusi roda digunakan suami sejak beberapa tahun lalu rosak dan tidak boleh digunakan lagi.
"Saya makin bingung memikirkan wang bagi mendapatkan kerusi roda untuk memudahkan suami bergerak ke mana-mana, termasuk ke hospital," katanya.
Julai 2014 lalu, Sinar Harian melaporkan pengorbanan seorang isteri menjaga dan meringankan penderitaan suaminya yang menghidap penyakit buerger.
Suaminya, Mohd Zaid terpaksa menanggung kesakitan seperti dihiris dan dua kaki terpaksa dipotong apabila kesihatannya merosot.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN): 0211229000093952 (Aziroh) atau menghubungi 013-5967896 untuk maklumat lanjut.
Sumber: Sinar Harian