Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah |
ALOR SETAR - Parti DAP dan Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng diberi peringatan bahawa DAP tidak akan sesekali berpeluang untuk membentuk Kerajaan Negeri di Pulau Pinang sekiranya tidak kerana PAS.
Oleh kerana itu, Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohd. Yusni Mat Piah memberi amaran kepada Ketua Menteri Pulau Pinang itu supaya tidak bersikap angkuh terhadap PAS kerana parti itulah yang menjadi penyebab DAP kekal berkuasa di negeri berkenaan.
“Perlu ingat kerajaan DAP Pulau Pinang tidak akan tertegak jika sekiranya DAP tidak membentuk kerjasama dengan PAS.
“Usah bongkak dan sombong dengan kemenangan dilakar, sedang kemenangan itu diraih hasil titik peluh ahli-ahli PAS yang bertungkus lumus bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Yusni dalam pada itu berpandangan bahawa Guan Eng sebenarnya sedang dibayangi ketakutan selepas bertindak memecat wakil-wakil PAS dalam agensi kerajaan negeri di Pulau Pinang.
Menurutnya, ketakutan dan kebimbangan Guan Eng itu adalah kerana tindakan terburu-burunya bertindak terlepas cakap, begitu cepat menggelarkan PAS sebagai musuh parti itu.
“Guan Eng memecat mereka dan menyatakan PAS musuh hanya kerana PAS tampil ke mahkamah menuntut keadilan yang sewajarnya.
“Sekiranya Guan Eng betul dan benar dalam tindakan beliau, usah takut dan bimbang terhadap dakwaan yang dibuat. Sila tampil dengan membawa bukti kukuh bagi menegakkan keadilan terhadap pemecatan tersebut,” cabarnya. -Kedahnews.com