Kucing pun tak sabar berbuka puasa di Baitul Ateeq! |
MAKKAH – Aksi comel seekor kucing yang
seakan-akan bersabar dan menunggu untuk berbuka puasa bersama-sama
dengan jemaah di Masjidil Haram di kota Makkah, dipuji ramai netizen
menerusi laman-laman media sosial.
Kucing itu dengan penuh tenang, duduk bersimpuh
bersama-sama ratusan ribu lagi jemaah lain di hadapan jamuan iftar,
malah tidak menyentuh pun makanan di hadapannya, menurut laporan akhbar
ternama, Arab News.
Gambar yang menunjukkan pemandangan luar biasa itu
kini menjadi viral dalam pelbagai laman media sosial di seluruh dunia,
bahkan pelbagai reaksi positif diluahkan oleh para pengguna media maya
seperti di Twitter.
Seorang pengguna Twitter, Amed Al-Jawhari, menulis
di laman sosial itu bahawa ia menunjukkan betapa haiwan juga hormat dan
menyembah Allah SWT termasuk menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan
al-Mubarak.
“Ia seolah-seolah menunjukkan kucing tersebut
sudah menempah tempatnya untuk berbuka puasa di tempat iftar jemaah di
Masjidil Haram,” kicau beliau sebagai mengulas foto disebarkan pengguna
bernama Abu Hudhayfah.
Mohammed Massad pula mengirim kicau: “Ia merupakan
gambar yang paling indah bagi menunjukkan seekor kucing sanggup duduk di
tempat iftar bersama para jemaah lain dan menunggu untuk berbuka puasa
bersama.”
Asael Bukhari pula menulis kicauan, gambar itu
menunjukkan Islam menghormati hak asasi haiwan. Meskipun kucing itu
datang dan duduk di kalangan para jemaah di tempat iftar, tiada sesiapa
yang mengangkat kucing itu.
“Sebaliknya, para jemaah di sekelilingnya seperti
seronok menyaksikan telatah kucing itu tanpa ada sesiapa pun cuba
menghalau haiwan comel ini, padahal mereka boleh sahaja berbuat
demikian,” kicau beliau.
Seorang lagi pengguna media sosial, Azmat Ahmed,
berkata ia sesuatu yang menakjubkan untuk menyaksikan bagaimana binatang
juga amat menghormati ibadah puasa wajib dan menanti kedatangan iftar
untuk makan.
Ini kerana kucing pada kelaziman tidak menunggu
apabila makanan sudah diletakkan di hadapan mereka tetapi kucing ini
pula seolah-olah rela bersabar menunggu azan Maghrib dikumandangkan oleh
muazin masjid.
“Tatatertib sedemikian menunjukkan
haiwan juga tahu tentang Ramadan dan pentingnya berpuasa, amat malu bagi
umat Islam yang sihat tubuh badan pula tidak berpuasa” tambah Ahmed. – Agensi