Lagi 26 GRO Warga Asing Pelayan Karaoke Dicekup Di Pulau Pinang


GEORGE TOWN – Seramai 26 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat karaoke di Pulau Tikus di sini ditahan dalam operasi tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan polis menyerbu pusat karaoke berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

“Semasa serbuan 19 wanita warga China dan tujuh wanita Vietnam itu sedang melayan pelanggan di premis hiburan berkenaan dan ada yang cuba melarikan diri melalui beberapa laluan khas di situ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata pusat karaoke itu turut ‘diawasi’ sekumpulan tonto yang bertindak memberikan maklumat jika ia diserbu oleh pihak berkuasa.

“Bagaimanapun hasil penyamaran anggota polis telah berjaya menyerbu pusat karaoke berkenaan dan siasatan juga mendapati ia pernah diserbu beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Mior Faridalatrash berkata dalam operasi itu, polis turut menahan tiga lelaki tempatan berusia 30 hingga 35 tahun yang merupakan penjaga di pusat karaoke berkenaan.

Katanya siasatan mendapati 26 wanita warga asing berusia 20-an itu telah menyalahgunakan pas lawatan sosial dan ada yang tidak mempunyai dokumen perjalanan diri.

“Mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes itu disiasat menurut Seksyen 55(B) Akta Imigresen 1969/63, dan Seksyen 39(B) Peraturan Imigresen 1969/63, katanya. – BERNAMA