Lantikan Mohamed Apandi Adalah Tepat, Sesuai - Ketua Hakim Negara

Tan Sri Mohamed Apandi Ali 
KUALA LUMPUR - Pelantikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara adalah tepat dan sesuai berdasarkan pengalamannya, kata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

"Beliau mempunyai pengalaman yang banyak. Pernah bekerja di Jabatan Peguam Negara sebagai Timbalan Pendakwa Raya. Beliau memang hebat (superb), " katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sehingga semalam, pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya pada sekitar 1970-an serta menjadi peguam bela pada 1982 hingga 2003.
    
Arifin berkata, beliau juga mempunyai pengalaman sebagai Majistret, Hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan serta Hakim Mahkamah Persekutuan.
    
Ketika ditanya mengenai Tan Sri Abdul Gani Patail yang ditamatkan perkhidmatan sebagai Peguam Negara mulai semalam, Arifin berkata:" Saya doakan yang terbaik untuknya. Moga beliau diberi kesihatan yang baik."
    
Walaupun tidak lagi sebagai Peguam Negara, Abdul Gani akan terus berkhidmat sebagai Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan sehingga beliau bersara wajib pada 6 Okt 2015.
    
Mohamed Apandi merupakan Peguam Negara kesembilan dan pengalaman beliau di dalam bidang perundangan amat luas meliputi bidang pendakwaan, pembelaan dan penghakiman.
    
Beliau yang dilahirkan di Kampung Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa, Kelantan pada 11 Feb 1950     menerima pengajian awal di University of London pada 1972 dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-undang, sebelum meneruskan pengajian dalam Bar-At-Law, Inner Temple of London pada 1973 dan seterusnya di Institute of Advance Legal Studies, London pada 1981.
    
Antara karier dan jawatan pentingnya adalah menjadi Majistret di Terengganu pada 1973 hingga 1975 dan kemudiannya menjawat Pengarah Biro Bantuan Guaman Kelantan selama dua tahun hingga 1977.
    
Beliau kemudian menjadi Penasihat Undang-Undang Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Kuala Lumpur (1980-1982) sebelum menubuhkan syarikat guaman sendiri iaitu Firma Apandi Ali & Co (1982-2003).
    
Kariernya terus berkembang apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya, Kuantan (1 Mei 2003-2004), Hakim Mahkamah Tinggi selama enam tahun dari 21 Dis 2004 hingga 2010 sebelum menjawat Hakim Mahkamah Rayuan pada 14 April 2010 hingga 29 Sept 2013.
   
Mohamed Apandi kemudian dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan sejak 2013 hingga semalam sebelum dilantik menjadi Peguam Negara menggantikan Abdul Gani, yang ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan.
    
Antara kes berprofil tinggi yang pernah diputuskan olehnya ialah rayuan kerajaan untuk melarang The Herald daripada menggunakan kalimah 'ALLAH' dua tahun lepas.
    
Beliau juga pernah menjadi anggota panel dalam kes rayuan di Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan Enakmen Jenayah Syariah negeri yang menghukum lelaki Islam berpakaian wanita sebagai tidak sah. - Bernama