Lantikan Salleh Said Tepat, Mampu Selamatkan Industri Seni - Penggiat Seni

Jurey (dua dari kiri) bersama penggiat seni yakin pada kemampuan Salleh Said
Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia  (Gafim), Jurey Latiff Rosli yakin bahawa Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baru, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak tahu apa yang perlu beliau lakukan bagi menyelamatkan industri seni tanahair.

Katanya, selaku pemimpin yang pernah menjadi Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) pada tahun 2011, dia yakin Salleh mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penggiat seni negara selama ini.

"Saya percaya beliau tahu apa yang perlu dibuat bagi menyelamatkan industri seni negara yang berada dalam keadaan tenat ketika ini. 

"Saya mewakili penggiat seni lain berharap agar beliau dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi kami," katanya yang dipetik dari mStar.

Mengulas mengenai perlantikan Salleh dalam rombakan kabinet baru-baru ini, Jurey menjelaskan meskipun Menteri itu pernah menjadi Pengerusi Finas buat tempoh yang singkat, tapi beliau sempat merancang pelbagai perkara yang dilihat mampu mengukuhkan industri berkenaan.

Namun katanya, ekoran Salleh mengetuai Finas dalam tempoh yang agak pendek itu, perancangan-perancangan itu tergendala dan tidak dapat dilaksanakan. 

"Sebelum ini Salleh pernah menjadi Pengerusi Finas, tetapi hanya dalam tempoh yang sangat singkat. 

"Tidak sempat nak bantu industri walaupun beliau telah merancang macam-macam perkara bagi mengukuhkan industri seni," katanya lagi.

Justeru itu, Jurey positif dan berharap agar Salleh segera bertindak selepas mendapat maklum balas mengenai masalah-masalah yang timbul dalam industri seni tanahair. -Kedahnews.com