Lebih 70 Rumah, Gerai Bazar Ramadhan Rosak Dipukul Ribut Di Perlis

Gambar Hiasan
KANGAR – Lebih 70 buah rumah dan gerai pasar Ramadan di beberapa kawasan di negeri ini mengalami kerosakan akibat kejadian ribut dan hujan lebat kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

Kawasan paling teruk dilanda bencana alam itu ialah Taman Datuk Jaafar di sini membabitkan 26 buah rumah dan beberapa gerai yang mengalami kerosakan bumbung dan setengahnya keseluruhan bumbung diterbangkan angin.

Rumah yang turut mengalami kerosakan bumbung ialah di Kampung Wang Ulu, Padang Lima Nalih dan Taman Bukit Kayangan di Bintong termasuk masing-masing sebuah rumah di Wang Ulu dan Padang Lima Nalih rosak teruk ditimpa pokok.

Gerai pasar Ramadan yang rosak membabitkan 30 buah iaitu di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri, Jalan Hospital dan hadapan Taman Datuk Jaafar di sini dan di Seriab, menyebabkan peniaga terbabit terpaksa menutup perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Perpaduan Masyarakat negeri Rela Ahmad yang melawat mangsa sejurus selepas kejadian petang semalam, malam tadi dan juga hari ini berkata beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri masih menjalankan bancian kerosakan dan setakat ini belum dapat dipastikan nilai sebenar kerosakan yang dialami oleh mangsa terbabit, katanya kepada Bernama selepas melawat mangsa di sini hari ini.

Rela yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bintong berkata pihak JKM akan mengeluarkan bantuan mengikut nilai kerosakan yang dialami bagi meringankan beban mangsa berkenaan terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri akan membantu mangsa dan berharap mangsa bersabar dan menganggap apa yang berlaku itu sebagai ujian Allah SWT pada bulan Ramadan yang mulia ini. – BERNAMA