Slot Akasia, Dia Isteri Luar Biasa dicemuh ramai |
Drama bersiri popular yang ditayangkan di slot Akasia,
Dia Isteri Luar Biasa dicemuh ramai baru-baru ini gara-gara menampilkan aksi-aksi
terlampau mesra terutamanya antara tonggak cerita tersebut lakonan
Syukri Yahaya dan Fathia Latiff.
Selain itu, terdapat juga suara-suara mengkritik drama itu sebagai tidak bermoral dan
menggalakkan maksiat kerana aksi-aksi romantik yang ditunjukkan
melampau-lampau membabitkan para pelakon yang beragama Islam.
Hingga ke satu tahap, penerbitnya yang juga pemilik syarikat produksi
Pena Creative Sdn Bhd, Ziela Jalil terpaksa memohon maaf kepada penonton
kerana sajian babak-babak "terlampau" berkenaan.
Dalam satu kenyataan kepada BH Online, aktres drama itu, Fathia
berkata, dia menghormati serta memahami sensitiviti penonton terhadap
babak-babak sedemikian. Walau bagaimanapun, dia enggan melatah terhadap
komen yang diluahkan pengguna laman maya serta bertindak memohon maaf di
ruang Instagramnya bagi meredakan keadaan.
Bukan itu sahaja, akibat kecaman yang berterusan, pihak produksi
terpaksa melakukan penggambaran semula beberapa babak bagi menggantikan
babak lama yang berkemungkinan akan menerima nasib sama.
“Buat kali pertama saya berhadapan dengan situasi begini
sehingga diarahkan untuk ‘reshoot’ semula beberapa adegan di dalam
drama.
“Selain mempunyai komitmen untuk drama siri lain, saya
terpaksa mencuri masa untuk berkejar ke lokasi DILB ini. Namun saya
memahami situasi ini sepenuhnya dan menghormati sensitiviti penonton.
“Bagi saya penonton mempunyai pandangan dan pendapat sendiri.
Namun saya memandang positif perkara ini kerana ada betulnya juga
kata-kata mereka itu,” kata Fathia.
Lantas itu, dia yang telahpun terikat dengan penggambaran drama lain
terpaksa meminta pelepasan dari pihak produksi tersebut untuk menjalani
penggambaran semula DILB.
Bagi melicinkan perjalanan penggambaran tersebut, ramai yang perlu memberikan kerjasama termasuk penulis novelnya.
Nampaknya, ini satu petanda bagus dalam industri seni di Malaysia
yang mana peminat sudah semakin jelak dengan taktik penerbit mahupun
pengarah drama yang tidak habis-habis menyajikan drama romantik yang"terlampau" dan tidak sesuai dengan agama serta adat resam ketimuran di negara kita. -Kedahnews.com