Legasi Ramuan Istimewa Kanji Arwah Ustaz Azizan Diteruskan Di Sg Limau

Yang Dipertua Pas Kawasan Jerai, Azizan Talib (kiri) memantau penyediaan bubur kanji berkenaan.
JERAI - Setiap kali tibanya Ramadan, orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bubur kanji Azizan yang diedarkan setiap hari di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Sungai Limau, Yan kerana keenakan rasanya.

Resipi turun temurun sejak 20 tahun lalu itu adalah ramuan istimewa yang diilhamkan sendiri oleh bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Setiausaha Pas Kawasan Jerai, Muaaz Othman berkata, bubur kanji Azizan@Jerai ini memang terkenal sejak 20 tahun lalu dan mula disediakan sejak 1996 ketika Azizan bergelar Adun Sala ketika itu.

“Allahyarham memang pandai memasak, beliau antara pakar masakan dalam kalangan rakan-rakan ketika masih belajar di United Kingdom. Saya sendiri pernah merasai masakan Allahyarham, bubur moi ikan tongkol, memang sedap,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya Azizan memasak sendiri resipi ciptaannya itu, sebelum menyerahkan ramuan itu kepada Pas kawasan untuk dijadikan acara tahunan setiap kali Ramadan.

“Program ini bermula pada hari pertama Ramadan sehingga 26 Ramadan. Pada awalnya hanya menggunakan lapan kilogram beras tetapi kini meningkat kepada 40 kilogram setiap hari dan mampu membekalkan antara 1,400 hingga 1,800 bungkus, yang dimasak menggunakan dua periuk besar,” katanya.

Muaaz berkata, antara kelainan bubur kanji ini ialah dimasak bersama tulang kerbau menyebabkan bubur lebih manis dan sedap selain memasukkan lebih lada hitam dan parutan lobak merah.

“Bubur kanji ini diedarkan ke seluruh kawasan Jerai secara percuma. Bubur ini memang cepat habis walaupun diedarkan sekitar jam 4 petang. Kos perbelanjaan sepanjang program mencecah sekitar RM16,000 dan penyediaannya dibuat secara gotong-royong,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat berkata, agihan tahun ini diperluaskan kepada tiga Dun dengan membawa 300 bungkus untuk diedarkan.

“Kita edarkan di lima lokasi iaitu Pekan Gurun, Pekan Guar Chempedak, Bazar Ramadan Sungai Limau, Bazar Ramadan Bukit Besar dan Sungai Yan. Pendekatan ini dibuat bagi membolehkan orang ramai menikmati bubur kanji ini,” katanya.

Menurutnya, walaupun tanpa ketiadaan Allahyarham, pihaknya akan memastikan program yang diilhamkan oleh Azizan itu diteruskan dengan jayanya.

“Semoga selagi program ini dilaksanakan, Allahyarham akan terus beroleh pahalanya. Jika sebelum ini edaran hanya dibuat di PKWR Pas kawasan, tahun ini kita jelajah bazar Ramadan dan lokasi terpilih. InsyaALLAH, edaran akan diperluas ke kawasan kedai dan pejabat sekitar Guar Chempedak,” katanya.

Azizan meninggal dunia pada 26 September 2013, akibat komplikasi kencing manis selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Sumber: Sinar Harian