Lelaki Buta Hampir 30 Tahun Hidup Sebatang Kara Di Bandar Bharu

Walaupun trauma, Saad cuba untuk memasak air menggunakan dapur gas.
BANDAR BAHARU - “Sejak umur 14 tahun saya mula belajar masak dengan emak supaya nanti saya tidak susahkan sesiapa," luah seorang warga emas, Saad Jaafar, 76, yang tinggal bersendirian di Kampung Balai Lama, Sungai Kecil Hilir dekat sini, sejak hampir 30 tahun lalu selepas kematian ibunya.

Walaupun Saad cacat penglihatan namun, dia mampu menguruskan kehidupannya dengan baik tanpa perlu memohon belas ihsan sesiapa.

Menurutnya, sejak remaja lagi, emaknya selalu menyuruhnya belajar memasak kerana mahu dia berdikari.

"Selepas kematian ibu dan dua lagi adik-beradik saya, saya tinggal sendirian di rumah pusaka kami, namun kini rumah itu tiada lagi selepas terbakar tahun lalu.

“Pada bulan puasa ini, saya bangun bersahur dengan memasak nasi dan lauk sardin kadang-kadang goreng telur atau ikan bilis. Air pula adalah air milo yang menjadi kegemaran saya sejak kecil,” katanya.

Saad berkata, rumah pusaka yang didiaminya sejak kecil terbakar ketika dia memasak air di dapur untuk membuat sarapan pagi.

"Kejadian itu berpunca daripada kertas yang dilapik di bawah dapur gas terbakar.

"Saya mengetahui kejadian itu selepas diberitahu cucu saudara yang kebetulan melalui rumah saya dan melihat dapur terbakar," katanya yang tinggal sehelai sepinggang akibat kejadian itu.

Namun difahamkan selepas kejadian itu, Saad menerima rumah hasil sumbangan pihak zakat.

Katanya, akibat kejadian itu, dia trauma untuk menggunakan dapur gas.

"Pada mulanya memang saya trauma untuk menggunakan dapur gas, namun terpaksa gagahkan diri kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa," katanya.

Tambahnya, dia bertuah kerana mempunyai jiran dan rakan-rakan yang selalu menolongnya.

"Jiran dan kawan-kawan sangat ringan tulang membantu saya membeli barang keperluan rumah.

"Walaupun hidup sebatang kara, namun saya reda dengan ketentuan-Nya," katanya.

Sumber; Sinar Harian