Lelaki Cina Tunjuk Isyarat Lucah Pada Polis Trafik Terima Padah

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori menerima padah apabila diberi pilihan sama ada mahu didenda RM100 atau penjara 10 hari oleh Mahkamah gara-gara menunjukkan isyarat lucah pada anggota polis trafik.

Majistret Mahkamah Majistret, Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Hor Ching Shiong, 31, selepas dia mengaku bersalah berkelakuan kurang sopan bagi tujuan mengaibkan dan menghina dengan cara menunjukkan isyarat lucah terhadap Christopher Jaban.

Dalam keputusan mahkamah yang diputuskan semalam ini, Chin Shiong sebelum ini dikatakan telah menunjukkan isyarat lucah kepada polis trafik, hanya kerana berang dengan kesesakan jalan raya di lampu isyarat Jalan Ampang di sini, pada pukul 5.30 petang, 3 Julai lepas.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Menurut fakta kes ketika dibicarakan, difahamkan bahawa tertuduh telah menunjukkan isyarat lucah ketika polis trafik itu sedang mengawal lalu lintas di kawasan lampu isyarat yang rosak di jalan berkenaan.

Memetik laporan mStar, gara-gara tindakan melampau Chin Shiong itu, anggota polis trafik berkenaan telah mengejar dan menangkap tertuduh dan membawa lelaki itu ke Balai Polis Dang Wangi untuk tindakan susulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Svetlana Mohd Noor Nordin memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak lagi bersikap mementingkan diri sendiri dan menghormati tugas polis trafik. -Kedahnews.com