Lima Anggota Kartel Gangster Dihukum Penjara 697 Tahun

Gambar Hiasan
Mahkamah Mexico dilapor telah menjatuhkan hukuman penjara 697 tahun kepada lima lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh 11 wanita di sempadan bandar Ciudad Juarez.

Menurut pejabat pendakwa di negeri Chihuahua di negara berkenaan, kesemua lelaki tersebut disabitkan kesalahan menipu wanita dengan menjanjikan pekerjaan, tetapi sebaliknya memaksa mereka melacur sebelum membunuh kesemua mereka.

Kelima-lima lelaki berkenaan turut dikaitkan sebagai ahli kartel gangster Mexico yang membunuh mangsa sewenang-wenangnya di negara terbabit.

Merujuk pada fakta kes tersebut, difahamkan bahawa rangka mangsa telah ditemui dibuang di sebuah padang lembah Juarez  pada tahun 2012.

Selain itu, kebanyakan mangsa yang terbunuh dilaporkan hilang pada tahun 2009 atau 2010 selepas memohon pekerjaan di beberapa kedai dan hotel sekitar daerah itu. -Kedahnews.com