Luah Bicara Hati Puteri Zahid Hamidi Di Instagram Buat Ramai Tersentuh


ALOR SETAR - Setelah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baru menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, jelasnya lantikan itu telah menerima pelbagai reaksi dari warga netizen sejak ia diumumkan petang semalam.

Reaksi berkenaan turut menarik perhatian anak perempuan sulung Ahmad Zahid yang bernama Nurul Hidayah yang menzahirkan sokongan penuh terhadap bapanya selain mengambil kesempatan mengucapkan tahniah menerusi laman sosial Instagram, Sayanurulzahid.

Ucapan Nurul Hidayah yang dimuat naik itu telah mencuri perhatian ramai pihak di mana mereka menyifatkan status tersebut mempunyai makna yang mendalam dan sangat menyentuh hati.

Menerusi kapsyen tersebut, puteri Ahmad Zahid yang difahamkan berusia 36 tahun itu meluahkan perasaannya untuk cuba memahami tanggungjawab yang disandang bapanya meskipun menyedari masa untuk mereka bersama akan semakin berkurang, tidak seperti sebelumnya.
"Abah, betapa orang sedang menyanjungmu, memujimu, memakimu, menyumpah seranahmu, kau tetap suami, Abah, Grandpa kami. Tetaplah dengan istiqamahmu, janjimu kepada Maha Pencipta. 
"Sebagai anak, bukan status yang kami pandang. Abah tetap Abah. Pandanglah tanggungjawabmu dengan 'mata hati'. Kami redha akan perkongsian Abah dengan tanggungjawab yang digalas. Masa kami bersama Abah akan semakin berkurang.  
"Ketentuan Allah tidak terjangkau dek akal. Pesan Abah ikut rasmi padi "makin berisi tambah menunduk" akan kekal sehingga akhir hayat kami. Tahniah Abah. Ini suatu amanah dan ujian Allah. All the best n semoga Allah memberi kekuatan iman, taqwa, tabah n sabar pada Abah. ❤️"

Apa yang jelas dari tulisan Nurul Hidayah, dia mengharapkan semoga bapanya akan diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan itu dengan sifat tabah dan sabar. -Kedahnews.com