Mahu Syurga Allah, Sejauh Mana Kita Beristiqamah Dalam Amalan Kita?


SETIAP amalan yang baik yang dilakukan oleh seseorang Muslim di dunia ini akan mendapat balasan yang setimpal di akhirat kelak. Dengan berpandukan al-Quran segala amalan dan kewajipan telah dijelaskan kepada manusia supaya beriman dan beramal kepada Allah SWT.

Sebagai orang yang beriman, melakukan amalan yang baik bermula daripada percakapan dan perbuatan. Bercakap baik dengan mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah amalan yang baik. Begitu juga segala perbuatan amal kebajikan, terutamanya selepas puasa dan hari raya Aidilfitri.

Memetik kata-kata ahli tasawuf, Ibrahim Adham, kami perbaiki bahasa kami, maka kami tidak akan mengalami kesalahan dalam bertindak. Dan jika perbuatan kami salah kami baiki kesalahan itu.

Sesungguhnya, segala kemewahan, kenikmatan, kemegahan yang ada di dunia ini jika tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya tidak boleh membantu kita untuk ke jalan yang diredai Allah, melainkan amal ibadah sahaja yang dapat membantu kita untuk memperoleh segala nikmat di alam akhirat nanti. Tiap nikmat kesenangan dunia, pasti akan rosak dan lenyap.

Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud: 
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwa kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya". (Ali Imran: 102)
Ketakwaan bermaksud ketaatan mengerjakan perintah Allah dengan penuh kesolehan. Amalan-amalan tersebut adalah solat lima waktu, solat-solat sunat yang lain, mengeluarkan zakat, berpuasa bulan Ramadan dan berpuasa sunat, menunaikan haji dan umrah serta amalan-amalan lain seperti bersedekah dan melakukan amal jariah.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah), Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah: 105)
Hal ini jelas membuktikan bahawa amalan yang baik yang dilakukan dengan penuh keimanan akan mendapat balasan pahala di akhirat nanti. Beriman kepada Allah SWT, tauhid dan penghambaan diri dengan tidak menyekutukan-Nya akan mengukuhkan keimanan dalam jiwa setiap Muslim.

Berkaitan dengan syurga, daripada Jabir ra, beliau berkata; Rasulullah SAW bersabda: 
“Kunci syurga adalah solat dan kunci solat itu adalah wuduk.” (riwayat Tirmizi dan Ahmad)
Istana Allah

Jannah atau syurga menurut etimologi bererti taman yang terdiri daripada pohon kurma atau pohon-pohon lain. Syurga dimaksudkan tempat kediaman atau istana yang disediakan oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya yang bertakwa kepada-Nya sebagai balasan kepada mereka atas keimanan yang jujur dan benar serta amal perbuatannya yang soleh.

Sesungguhnya, solat itu amalan yang utama kepada umat Islam selain daripada amalan-amalan yang lain. Tiada siapa yang boleh menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka.

Sementara itu, dalam satu hadis yang lain, daripada Abdullah bin Amar ra, beliau bertanya Rasulullah SAW berkata; 
“Wahai Rasulullah! Apakah keuntungan majlis zikir itu? Baginda menjawab: Keuntungan majlis zikir itu adalah syurga, syurga.” (riwayat Ahmad)
Dalam hadis lain, yang diriwayatkan daripada Tasuban ra, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Barang siapa yang mati dalam keadaan bebas daripada tiga perkara, iaitu kesombongan, dendam dan hutang, nescaya dia akan masuk ke syurga.” (riwayat Tirmizi dan Syaibani)
Sifat sombong, menyimpan dendam dan berhutang patut dielakkan oleh umat Islam. Perbuatan ini jika diamalkan akan menyebabkan seseorang itu menjurus kepada sesuatu yang tidak baik. Amalan yang baik yang dilakukan secara berterusan sangat digalakkan dalam Islam. 

Oleh itu, lakukan segala amalan yang baik dalam kehidupan ini bagi mendapat keredaan Allah SWT. Hubungkan silaturahim, ziarah-menziarahi semasa hari raya Aidilfitri.

Oleh itu, sifat yang baik dan amalan yang mulia yang dilakukan oleh seseorang Islam itu yang diterima oleh Allah SWT akan membawa ke syurga. Jadikan keimanan dan ketakwaan selepas puasa dah Hari Raya Aidilfitri ke arah amalan baik hanya kerana Allah SWT untuk menuju ke syurga-Nya. 

Kuat atau lemah iman seseorang dapat diukur dan diketahui daripada perilaku akhlak seseorang. Akhlak yang buruk tanda iman yang lemah.

Sumber: Utusan