Majlis Kerabat Diraja Kedah Sah Berdaftar Secara Rasmi

Kereta milik Noridan yang guna lambang majlis kerabat.
ALOR SETAR - Status penubuhan Majlis Kerabat Diraja Kedah adalah sah dan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 14 November 2013 bagi menggantikan Persatuan Kerabat Diraja Kedah yang dibatalkan pada 26 September tahun sama.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Kerabat Diraja Kedah, Datuk Noridan Spee Yee berkata, punca menyebabkan keahlian persatuan itu dibatalkan antaranya perjalanan persatuan tidak mengikut pentadbiran, berlaku penyelewengan melibatkan penggunaan lambang persatuan pada kenderaan bukan ahli dan kutipan tajaan bagi kepentingan peribadi.

Menurutnya, bagi menggelakkan kes salah guna lambang berulang hanya dua individu sahaja dibenarkan menggunakan lambang kereta Majlis Kerabat Diraja Kedah berbanding sebelum ini diberikan secara meluas kepada ahli.

“Dua individu itu adalah Yang Dipertua Majlis Kerabat Diraja Kedah, Syed Idrus Syed Baharom dan saya selaku timbalan bagi bezakan kepimpinan baharu dan  lama.

“Kami turut mendapatkan kebenaran dari ROS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk menggunakan lambang berkenaan pada kereta masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Noridan berkata, mereka juga mengehadkan jumlah keahlian hanya kepada 51 waris kerabat diraja terdekat bagi menggelakkan berlaku masalah dalam pengurusan pentadbiran.

“Apabila jumlah keahlian terhad senang untuk kami lebih fokus kepada matlamat penubuhan iaitu mengeratkan salasilah keturunan dan melakukan kerja kebajikan.

“Dalam tempoh terdekat ahli juga akan diberi kad keahlian untuk memudahkan mereka berurusan. Setakat ini sudah dua kali mesyuarat agung dilaksanakan kali terakhir April lalu,” katanya.

Katanya, memang tidak dinafikan ada ahli yang menarik diri dari menyertai Majlis Kerabat Diraja Kedah kerana tiada kemudahan mendapatkan lambang kenderaan.

“Kami memang tegas dalam soal ini kerana salah guna lambang kenderaan boleh mencemarkan institusi Diraja Kedah.

“Justeru kami tidak teragak-agak membuat laporan polis jika ada mana-mana individu yang memalsukan lambang kenderaan menggunakan nama Majlis Kerabat Diraja Kedah,” katanya.

Menurutnya, sepanjang penubuhan semula sejak dua tahun lalu tidak timbul lagi sebarang masalah kerana segala aktiviti yang dilakukan mengikut prosedur ditetapkan ROS.

Sumber: Sinar Harian