Anak Che Som, Nor Azah (kanan) dan kakaknya, Nor Azimah membersihkan tingkat atas rumah mereka yang dipenuhi dengan air hujan selepas ribut awal pagi semalam. |
ALOR SETAR - Seorang penduduk nyaris ditimpa kayu dan zink selepas bumbung dapur rumahnya roboh dalam kejadian ribut yang berlaku awal pagi semalam.
Penduduk, Siti Mariam Abd Rahman, 58, dari Kampung Alor Mengkudu Dalam, Mukim Derga berkata, dia terkejut dan terjaga dari tidur apabila terdengar bunyi guruh serta hujan lebat kira-kira jam 2.30 pagi semalam.
Menurutnya, kemudiannya dia bangun pergi ke dapur untuk menutup beberapa suis kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.
"Sementara menunggu waktu memasak untuk bersahur, saya duduk di ruang tamu rumah sambil berehat.
"Tak lama kemudian saya terdengar dentuman kuat di dapur. Saya dapati bumbung dapur sudah roboh akibat angin dan hujan lebat," katanya.
Siti Mariam berkata, bunyi yang kuat itu menyebabkan seluruh ahli keluarga terjaga dari tidur.
"Saya dengar anak-anak menjerit meminta tolong dari tingkat atas. Rupa-rupanya bumbung rumah yang roboh menyebabkan kedua-dua anak saya terperangkap apabila beberapa kayu menghalang mereka turun ke bawah," katanya.
Katanya, dalam ketakutan, anak-anaknya cuba memberanikan diri dengan turun ke bawah melalui tangga yang sudah dipenuhi air hujan.
"Kejadian ini menyebabkan pakaian untuk menyambut hari raya kami sekeluarga basah.
"Namun kami bersyukur tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada Sinar Harian.
Seorang lagi penduduk, Che Som Abu Seman, 61, berkata, ketika kejadian dia sedang berzikir di ruang tamu dan menunggu waktu bersahur untuk bersama anaknya yang baru pulang bercuti.
Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat dari atas rumahnya.
"Saya segera ke atas rumah dan mendapati keseluruhan bumbung rumah sudah diterbangkan angin ribut.
"Keseluruhan tingkat atas rumah saya habis basah akibat hujan lebat. Nasib baik kuih siput yang ditempah pelanggan sudah pun siap saya bungkus di dalam bekas, kalau tidak sudah tentu akan rosak kesemuanya," katanya.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan sebanyak 49 rumah rosak dalam kejadian ribut awal pagi semalam.
Menurutnya, 22 rumah adalah di Kampung Alor Mengkudu, 22 rumah di Taman Budiman dan lima lagi di Taman Gunung Bongsu.
Sumber; Sinar Harian