KEDATANGAN Syawal sememangnya dinantikan dengan penuh sabar dan teruja oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini kerana kebiasaannya Aidilfitri disambut dengan penuh meriah oleh seluruh rakyat negara ini sebagai antara perayaan utama tanpa mengira agama dan kaum.
Inilah keistimewaan negara dan rakyat kita yang walaupun berbeza agama dan bangsa tetapi boleh hidup dalam sebuah masyarakat majmuk yang bersatu dan boleh merayakan perayaan kaum lain secara bersama.
Hakikatnya, selama ini setiap perayaan utama setiap kaum dikongsi bersama dan disambut seperti perayaan kebangsaan oleh seluruh negara. Ini ditambah pula dengan pelbagai keistimewaan yang disediakan seperti pemberian cuti umum, pemberian bonus kepada kakitangan kerajaan serta budaya rumah terbuka di seluruh negara.
Senario ini mewarnai kalendar kehidupan setiap rakyat negara ini sejak kita merdeka lagi. Ia telah dibentuk, dipupuk dan dipateri kemas oleh generasi terdahulu yang mengetepikan segala kepentingan peribadi kaum masing-masing demi mencapai kemerdekaan serta dapat hidup aman sebagai satu keluarga besar.
Ternyata semangat kebangsaan mereka mengatasi semangat individualistik dan sekali gus bersepakat dan bermuafakat membentuk sebuah negara majmuk yang berdiri gah di persada antarabangsa seperti pada yang ada pada hari ini.
Dalam hal ini, kita tidak boleh menafikan peranan pelbagai perayaan dan sambutan upacara rasmi negara seperti Hari Raya Aidilfitri ini yang telah dan juga sedang menjadi platform terbaik dalam kita terus menyuburkan semangat perpaduan dan kebangsaan dalam kalangan generasi dahulu hingga ke hari ini.
Saban tahun perayaan seumpama ini terus menonjolkan dan mengeratkan tali silaturahim sesama rakyat kita. Ia boleh dilihat melalui budaya kunjung mengunjung yang biasanya dilakukan semasa rumah terbuka.
Kita boleh lihat dengan jelas orang India dan Cina mengunjungi rumah orang Melayu semasa Aidilfitri dan juga sebaliknya semasa sambutan Tahun Baru Cina, Deepavali ataupun perayaan utama lain.
Senario seumpama ini membuktikan betapa rakyat kita bersyukur dan meraikan segala nikmat kehidupan bersosial masyarakat majmuk yang terdiri daripada penduduk berlainan budaya dan gaya hidup. Ia juga telah menjadi nadi dan teras pembangunan dan kejayaan kita sekian lama.
Justeru sebagai rakyat yang bertanggungjawab setiap seorang daripada kita wajib untuk memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan apa yang kita miliki sekarang.
Ini kerana kita perlu sentiasa sedar bahawa nikmat kemerdekaan, perpaduan, kegembiraan dan keamanan yang ada pada hari ini boleh diragut sekelip mata andai kita leka dan lalai.
Buktinya, mutakhir ini kita dapat lihat pelbagai insiden dan peristiwa yang berlaku dalam negara kita yang mula menyentuh sensitiviti sesuatu kaum.
Misalnya, isu pencemaran masjid, pertikaian laungan azan dan bacaan al-Quran serta pertikaian terhadap hak keistimewaan sesuatu kaum terutamanya hak orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti negara ini.
Ingatan kita juga masih segar dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat baru-baru ini di mana urusan jual beli telefon boleh berakhir dengan pergaduhan dan apa yang paling dikesali ia dijadikan sebagai isu perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Akibatnya keadaan menjadi huru-hara dan mencetuskan perbalahan serta pergaduhan antara segelintir orang Melayu dan juga orang Cina.
Insiden ini dengan jelas membuktikan betapa tahap perpaduan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari semakin menipis. Sedikit provokasi sudah cukup untuk mencetuskan api perkauman. Apakah ini yang hendak kita banggakan dalam meniti pelbagai cabaran sepanjang 58 tahun yang lalu?
Penulis cukup kesal dengan apa yang berlaku di Plaza Low Yat dan percaya majoriti rakyat negara ini yang mencintakan perpaduan dan keamanan juga merasakan begitu kerana insiden kecil pun boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum seperti ini.
Keadaan ini dengan jelas menunjukkan bahawa jambatan perpaduan yang telah kita bina selama ini tidak mustahil untuk mengalami keretakan malah runtuh sama sekali andai kita terlalu selesa dengan nikmat sedia ada tanpa berusaha menghayatinya dan mempertahankannya.
Kita perlu terima hakikat bahawa insiden-insiden yang telah mengambil tempat ketika ini sedikit sebanyak sudah mula memutikkan rasa prasangka dan prejudis sesama rakyat kita. Masing-masing dilihat lebih berhati-hati dan mula was-was dalam perhubungan dengan orang lain.
Walaupun situasi ini mungkin tidak terlalu kritikal mahupun serius lagi namun jika terus dibiarkan begitu maka kita percaya akan menjadi barah dan duri dalam daging untuk menghancurkan apa yang telah kita bina sekian lama.
Selama ini kita berbangga dengan dunia luar bahawa kita boleh dijadikan sebagai negara contoh masyarakat majmuk. Itulah keistimewaan kita dan negara luar juga sering memuji negara ini dalam aspek tersebut.
Namun kita perlu sedar bahawa tiada jaminan status ini akan kekal selamanya. Apakah kita mahu menghancurkannya? Apakah kita mahu mewariskan sebuah negara yang kacau bilau dan tidak stabil kepada generasi pewaris kita kelak? Cukuplah dengan apa berlaku pada 13 Mei 1969 dan percayalah negara kita tidak mampu untuk berhadapan dengan satu lagi tragedi berdarah seperti itu.
Justeru tepuk dada dan tanyalah minda, hati dan perasaan masing-masing. Sudah semestinya setiap seorang daripada kita tidak mahu anak cucu kita kelak memaki hamun kita kerana mewariskan sebuah negara yang tidak aman kepada mereka.
Dalam hal ini, apakah kita lupa bahawa keamanan dan perpaduan yang kita warisi dan nikmati ini adalah apa yang telah dipinjamkan kepada kita oleh generasi sebelum ini? Fikir-fikirkanlah sejenak. Jangan sesekali kita mengkhianati amanah ini.
Justeru bersempena dengan samHari Raya Aidilfitri ini marilah kita seluruh rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini mengetepikan segala persengketaan, perselisihan faham dan ideologi politik seterusnya bermuhasabah diri dan insaf dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang mula melanda dan menggoncang perpaduan kaum di negara kita lantas berusaha untuk menepisnya dari akar umbi lagi sebelum merebak menjadi virus yang sukar diubati kelak. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubatinya.
*NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED, PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)/Utusan