MARA "Rehat"kan Pengerusi, CEO MARA Inc Sepanjang Siasatan

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa
ALOR SETAR - Majlis Amanah Rakyat (MARA) dilapor telah mengambil keputusan untuk 'merehatkan' dua pegawai kanan anak syarikatnya, Mara Inc, sementara sepanjang siasatan dijalankan berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia dan United Kingdom.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan bahawa dua pegawai berkenaan yang terlibat ialah Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim.

Memetik mStar, Annuar juga menjelaskan bahawa keputusan tersebut dibuat menerusi satu mesyuarat Majlis MARA yang diadakan samalam bagi membincangkan mengenai isu berkenaan.

"Setelah mengambil kira fakta awalan kes ini, Majlis Mara mengambil keputusan untuk merehatkan sementara dua pegawai kanan sepanjang siasatan berjalan, iaitu Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc.
"Mereka direhatkan bagi membolehkan siasatan dijalankan secara integriti dan telus, tanpa sebarang gangguan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Mara di ibu negara, semalam. -Kedahnews.com