KOMUNITI Islam di Sri Lanka adalah kelompok minoriti. Mereka hanya 10 peratus daripada penduduk negara itu berbanding penduduk Singhalese dan Hindu yang masing-masing berjumlah 73 peratus dan 12 peratus.
Sebagai golongan minoriti, sudah pasti wujud kebimbangan berhubung masa depan dan generasi muda Islam di sana. Umat Islam di sana bukan sahaja diancam perang saudara tetapi juga bencana alam.
Ancaman sedemikian menyebabkan kehidupan mereka tidak teratur dan sering kali melalui hari-hari tanpa makanan serta minuman yang berkhasiat.
Keadaan menjadi bertambah buruk pada hujung tahun lalu, di mana tanaman padi mereka musnah sama sekali kerana banjir besar dan keadaan itu menjadi parah kerana padi adalah sumber pendapatan utama mereka.
Berikutan itu, Islamic Relief Malaysia (IRM) telah melancarkan kempen bagi memungut derma daripada rakyat Malaysia. Kawasan yang menjadi tumpuan IRM kali ini adalah Ampara yang terletak di timur laut Sri Lanka.
Hasil kempen itu, IRM berjaya menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Islamic Relief (IR) Sri Lanka dan sumbangan itu adalah hasil derma dan bayaran fidyah oleh rakyat Malaysia dari seluruh negara.
Wilayah Ampara mempunyai bilangan komuniti Islam yang agak besar berbanding kawasan lain.
“Mereka menanam padi setahun sekali dan apabila dimusnahkan oleh banjir, keadaan ini menimbulkan kegusaran penduduk tempatan situ kerana sepatutnya pada waktu-waktu begini, ia adalah musim menuai, sekali gus memperoleh hasil tuaian.
“Tetapi akibat bencana yang melanda, maka mereka tidak ada pendapatan pada tahun terbabit,” kata Pegawai Kanan Bahagian Pengumpulan Dana IRM, Nurbazilah Sulaiman ketika ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.
Begitu pun, kempen IRM itu bukan hanya memberi tumpuan kepada pengagihan makanan tetapi juga bidang pendidikan kepada penduduk Islam yang terlibat dengan bencana banjir tersebut.
Ini kerana bencana tersebut telah menyukarkan anak-anak mereka memulakan sesi persekolahan pada tahun ini.
“Malahan ini juga menggugat satu-satunya sumber pendapatan dan sudah tentu menyukarkan mereka membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak yang hendak memulakan sesi persekolahan,” katanya.
Tumpuan pendidikan
Malah, Nurbazilah turut menyifatkan bahawa tumpuan itu perlu kerana percaya hanya bidang pendidikan yang mampu mengubah nasib komuniti Islam tersebut.
Ini juga selaras dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Barang siapa yang menghendaki kebaikan di dunia maka dengan ilmu. Barang siapa yang menghendaki kebaikan di akhirat maka dengan ilmu. Barang siapa yang menghendaki kedua-duanya maka dengan ilmu." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menerusi sumbangan tersebut, seramai 375 pelajar yang terpilih telah menerima satu set keperluan sekolah iaitu beg, kasut sekolah, buku teks dan alat tulis yang lengkap.
“Anak-anak itu berpotensi kerana mereka ceria walaupun sekolah mereka dalam keadaan daif. Kalau kita tingkatkan sedikit keperluan persekolahan serta kemudahan di sekolah, mereka pasti akan lebih berminat belajar,” katanya.
Sementara itu, bagi sumbangan fidyah pula, pihak IRM memberi tumpuan ke kawasan Datticaloa yang membabitkan 300 keluarga.
Dalam lawatan itu juga, pihak IRM turut meninjau projek bantuan yang berpotensi sekitar kawasan berdekatan, antaranya, sebuah sekolah yang amat memerlukan bantuan infrastruktur.
Nurbazilah memberitahu, keperluan tersebut bukan kerana sekolah itu dilanda bencana alam atau perang saudara tetapi infrastrukturnya berada dalam keadaan amat daif.
“Selain mencari dana yang sesuai, kami juga mungkin akan mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Pendidikan untuk mengenal pasti sekolah yang sesuai untuk dijadikan sekolah itu sebagai ‘anak angkat’.
“Walau bagaimanapun, kami telah meminta IR Sri Lanka menyediakan satu kertas kerja berkenaan sekolah tersebut dan apabila semuanya selesai, kami akan menggerakkan kempen untuk sekolah itu pula,” katanya Nurbazilah.
Sumber: Utusan