Masalah Bekalan Air: Orang Pokok Sena Terpaksa Beli Air?

Md Din menunjukkan tangki untuk menadah air hujan.
POKOK SENA - Penduduk di Kampung Bukit Pak Kiau dekat sini, mendakwa terpaksa membeli air sendiri berikutan masalah air yang dihadapi mereka sejak tiga tahun lalu.

Penduduk, Anuar A Rahman berkata, bekalan air di kawasan itu ada disalurkan, namun hanya beberapa jam sahaja.

Menurutnya, selain kampung ini, terdapat tiga kawasan lagi yang turut mengalami masalah sama iaitu Kampung Tok Keling, Kampung Pokok Sena Lama dan Kampung Tuba.

"Dahulu bekalan air di kampung ini hanya ada pada waktu malam, namun kini masanya dipanjangkan sedikit dari jam 7 malam hingga 10 pagi.

"Keadaan ini menimbulkan masalah kepada suami isteri yang bekerja kerana tidak dapat menyimpan bekalan air," katanya.

Katanya, Ramadan ini dia banyak membeli makanan di kedai sahaja kerana tiada air yang cukup untuk memasak.

"Malah setiap hujung minggu pula, ada dalam kalangan penduduk di sini terpaksa membawa pakaian kotor ke rumah saudara mereka untuk dibasuh,” katanya.

Bagi Md Din Husin, 73, pula, kegagalan pihak berkenaan membekalkan air kepada penduduk di situ menyebabkan mereka terpaksa menadah air hujan untuk kegunaan harian.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu menambahbaikkan perkhidmatan bekalan air dari semasa ke semasa tetapi malangnya ia sangat mendukacitakan.

"Dengan keadaan sekarang, kami rasa kehidupan kami seolah-olah berada di zaman dahulu walaupun negara kita sudah maju.

"Masalah ini akan bertambah serius apabila anak cucu pulang ke kampung sempena Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Air Darul Aman (Sada), Rofedi Sulaiman berkata, masalah itu berlaku kerana kedudukan beberapa kampung di kawasan itu berada di tanah tinggi.

Menurutnya, bekalan air dari kawasan itu dibekalkan dari loji Bukit Pinang kemudian disimpan di kolam Pokok Sena.

"Malah pertumbuhan kawasan perumahan baru sekitar Pokok Sena menyebabkan permintaan air semakin bertambah hingga sukar membekalkan ke seluruh kawasan itu.

"Bagaimanapun masalah ini akan selesai kerana Sada akan membina loji baru di Kampung Kebun 500, Pokok Sena tidak lama lagi.

"Kerja pecah tanah akan diadakan selepas Aidilfitri nanti dan apabila loji itu siap masalah air di seluruh Pokok Sena tidak berlaku lagi,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian