Mat Sabu Umum Tubuh Gerakan Harapan Baru, Lebih Syumul..!

Gerakan Harapan Baru
ALOR SETAR - Setelah lebih sebulan berteka-teki, kumpulan pemimpin yang "tersingkir" dari barisan kepimpinan PAS bagi penggal 2015/2017 akhirnya mengumumkan penubuhan sebuah kumpulan yang diberi nama Gerakan Harapan Baru.

Pengumuman tersebut telah dibuat salah seorang pemimpin G18 atau kumpulan progresif berkenaan iaitu bekas calon Timbalan Presiden PAS yang tewas, Mohamad Sabu semalam.

Mohamad atau lebih dikenali dengan nama panggilan Mat Sabu mendakwa gerakan yang ditubuhkan itu lebih syumul pendekatannya dan bersifat progresif, serta menawarkan Islam yang sebenar-benarnya.

“Gerakan Harapan Baru atau singkatannya Harapan Baru bertujuan menggerakkan semula kerjasama parti-parti politik, NGO dan rakyat.

“Harapan Baru akan mendukung Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat.

“Kami komited untuk membawa tawaran Islam yang sebenar-benarnya Rahmat untuk Semua” dalam memberi pembelaan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kami mendokong nilai-nilai demokratik dalam sebuah negara demokrasi yang subur dan berfungsi serta menghormati kedudukan semua kaum, agama dan budaya, ” umum Mohamad yang dipetik dari Malaysiakini.com.

Antara pemimpin yang hadir di majlis pengumuman ini ialah bekas Naib Presiden Ahmad Awang, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Mohd Taib dan bekas Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

Selain itu anak bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Nor dan Datuk Dr Yusuf Rawa iaitu Faiz Fadzil dan Mujahid Yusuf turut hadir memberi sokongan. 

Turut kelihatan di majlis pengumuman berkenaan ialah Salahuddin Ayub, Dr Dzulkefly Ahmad dan Khalid Samad.

Bagaimanapun, tidak dimaklumkan sama ada gerakan tersebut bakal digerakkan sebagai sebuah parti politik yang sah atau hanya merupakan pertubuhan NGO seperti PasMa.

Perpecahan antara pemimpin PAS menjadi ketara setelah selesai Muktamar Tahunan PAS yang mana tampuk kepimpinan tertinggi parti dikuasai oleh golongan ulamak sekaligus menepis golongan profesional.

Sejak hujung tahun lalu, PAS dilihat berpecah kepada dua puak yang mana puak ulamak dilihat lebih cenderung untuk tidak bekerjasama dengan DAP manakala puak satu lagi tidak mempunyai masalah berbuat demikian. -Kedahnews.com