MB Kelantan Mahu Tuduhan Dibawa Ke Muka Pengadilan

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.
KOTA BAHARU – Setiap tuduhan yang dilemparkan oleh mana-mana pihak perlulah dibawa ke muka pengadilan bagi mengetahui kebenaran dakwaan itu, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Beliau berkata apa-apa perkara yang menimbulkan suasana tanda tanya dalam kalangan rakyat perlu segera dibawa ke pengadilan.

“Apa-apa yang boleh timbulkan suasana rakyat tertanya-tanya, kalau perlu bawa kepada pengadilan … terus dibawa kepada pengadilan.

“Yang pentingnya hak dan batil, sama ada tuduhan itu betul atau tidak hendaklah dibawa kepada pengadilan. Kita rakyat menunggu satu keputusan yang adil,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan The Wall Street Journal (WSJ) kononnya kira-kira US$700 juta (RM2.6 bilion) daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dimasukkan ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. – BERNAMA