MB Perlis Mahu Kerajaan Pusat Bina Tembok Ganti Pagar Di Sempadan


KANGAR – Kerajaan Perlis mahu Kerajaan Pusat membina tembok menggantikan pagar sempadan Malaysia/Thailand, di samping memendekkan penempatan pegawai penguatkuasa di sempadan kepada enam bulan sahaja.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata pagar dawai yang dibina terlalu ‘rapuh’ kerana mudah dirosakkan pihak-pihak yang menjalankan aktiviti haram antara kedua-dua negara.

“Saya lihat wujud kelemahan dalam penguatkuasaan dan pengawalan sempadan. Bukti berlaku aktiviti pemerdagangan manusia tidak boleh ditepis, namun saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak.

“Mekanisme keselamatan ini menjadi keutamaan bagi menjamin sempadan Malaysia selamat,” kata Azlan kepada pemberita pada jamuan Aidilfitri Menteri Besar di kediaman rasmi beliau di sini, Khamis.

Katanya, kerajaan negeri juga mencadangkan supaya pusingan penempatan pegawai penguatkuasa Malaysia dipendekkan dari setahun kepada enam bulan sahaja dua tahun lepas bagi menghadapi masalah penyeludupan bukan kerana pemerdagangan manusia.

“Bagi menghadapi isu-isu di kawasan sensitif khususnya di sempadan, lebih baik pegawai-pegawai penguatkuasa ditukarkan lebih kerap sebelum mereka dikenali dan menjadi rapat dengan penduduk-penduduk tempatan.

“Pegawai-pegawai ini tidak perlu bawa bersama keluarga setiap kali bertugas di sempadan namun kerajaan hendaklah menyediakan kuarters untuk mereka,” kata Azlan.

Jamuan Hari Raya itu turut dihadiri Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid serta Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tengku Fauziah berkenan menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim dan miskin pada majlis itu yang dihadiri hampir 10,000 orang dari seluruh Perlis. – BERNAMA