Gambar Hiasan |
Bagaikan "membalas dendam kesumat di dada", seramai lapan bekas pembantu Tan Sri Khalid Ibrahim bakal diheret ke mahkamah kerana gagal mengembalikan wang pampasan berjumlah RM2.7 juta.
Dilaporkan bahawa wang pampasan berkenaan diberikan kepada kelapan-lapan individu terbabit, terutama Pegawai Khas bekas Menteri Besar itu, Faekah Husin, yang semalam mengkritik pedas Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali.
Peguam Shahir Razak, yang mewakili Menteri Besar Diperbadankan (MBI) berkata saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mei.
"Tindakan undang-undang telah dimulakan untuk mendapatkan kembali sejumlah pembayaran amaun yang tidak dibenarkan kepada lapan defendan," katanya yang dipetik dari The Star, semalam.
RUJUK: Azmin Gagal, Pegawainya Sibuk Bincang "Atas Bawah" Meja
Beliau berkata Menteri Besar Incorporated (MBI) juga menuntut ganti rugi, kos dan faedah 5 peratus ke atas jumlah hutang jika kaedah-kaedah mahkamah memihak kepadanya.
Lebih ketara lagi, MBI menamakan Faekah Husin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI sebagai defendan pertama kerana dikatakan menerima pampasan paling lumayan lebih setengah juta ringgit, berjumlah RM695,400.
Senarai defendan tersebut diikuti oleh Rohany (RM524,400), Arfa'eza (RM478,935), Mustapha (RM265,320), Rahimah (RM265,650), Dr Sulaiman (RM182,385), Abdul Halim (RM186,300) dan Tuan Nazuri (RM115,200).
Faekah sebelum ini telah memberi respon terhadap isu berkenaan dan menafikan terdapat sebarang salah laku dalam pembayaran pampasan pemberhentian yang dia serta mereka yang lain telah menerimanya.
Semalam, Faekah "menyerang" Azmin dengan menyifatkan beliau gagal membuktikan keupayaannya berperanan sebagai Menteri Besar ekoran beberapa isu yang menghimpit di negeri termaju itu terutama tentang krisis bekalan air yang kian meruncing. -Kedahnews.com