Mendiang Ketua Pasukan T-Team Akan Dikebumi Di Kuala Lumpur

ADEFARAMADE Oniya pada sidang media. FOTO: Aswadi Alias
ALOR SETAR - Mayat mendiang bekas ketua pasukan T-Team, David Faramola Oniya dilaporkan tidak akan dibawa pulang ke Nigeria dan sebaliknya diputuskan hanya akan dikebumi di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Adefaramade Oniya, 34, yang merupakan abang kepada mendiang David berkata, keputusan tersebut diputuskan selepas keluarganya bersetuju untuk melakukan pengebumian di Malaysia.

Menurut Adefaramade lagi, pihaknya telah membuat keputusan untuk tidak membawa mayat adiknya pulang ke Lagos, Nigeria atas beberapa sebab, termasuk memikirkan tentang kos penghantaran pulang yang agak tinggi.

"Saya harap urusan ini dapat diselesaikan dengan baik dan segera. 

"Saya bersama agen pemain, Felix Ndukwu dan wakil Persatuan Pemain-Pemain Nigeria di Malaysia, Micheal Omojuwa akan bertolak Kota Bharu selewat-lewatnya esok untuk menuntut mayat David sebelum dibawa ke Kuala Lumpur," katanya.

Kenyataan Adefaramade itu dibuat pada satu sidang media yang diadakan di Pejabat T-Team di Kuala Terengganu, sebagaimana yang dipetik dari sumber Harian Metro.

Pada 13 Jun lalu, pemain kelahiran Lagos, Nigeria itu rebah sebelum meninggal dunia ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan disahkan meninggal dunia akibat komplikasi jantung. -Kedahnews.com.