Mereka Merenung Masa Depan Yang Gelap Gelita...


Gempa bumi kuat yang menggegarkan Nepal pada April dan Mei lalu bukan saja meragut lebih 8,700 nyawa, tetapi turut mencederakan lebih 22,000 orang.

Mereka kini bergelut untuk pulih. Yang bernasib baik, hanya patah tulang. Tetapi, keadaan sebahagian mereka lebih buruk apabila hilang anggota tubuh.

Ramai dalam kalangan mereka tidak pasti akan dapat kembali menjalani hidup seperti yang pernah mereka lalui sebelum ini.


Hanya sebahagian kecil hospital di Nepal memiliki kemudahan terapi fizikal atau pakar yang mampu mengajar latihan rehabilitasi yang amat penting bagi membantu mangsa pulih sepenuhnya.

Bagi Sedar Tamang yang kehilangan kaki kirinya selepas dihembap tiang rumahnya, dapat hidup adalah paling penting, bukan rehabilitasi.

Bapa tiga anak berusia 22 tahun itu yang tinggal di khemah sementara selepas kampungnya musnah dalam gempa 25 April lalu, sebelum ini bekerja mencari kayu api dan di ladang jagung.
Kini, dia tidak tahu bagaimana hendak menyara keluargaya.


“Saya berasal dari kawasan pergunungan tetapi kini saya tidak lagi boleh mendaki. Hendak bergerak di kawasan rata juga saya tidak mampu. Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan selepas ini. Saya tidak tahu bagaimana saya akan menyara keluarga saya,” kata Tamang di luar khemahnya, tempat dia kini menginap bersama ibu, isteri dan anaknya.

Kerajaan Nepal berkata, ia akan membantu membina semula rumah yang musnah dalam gempa bumi itu tetapi tidak bercakap mengenai merawat mangsa yang cacat.

Di Hospital Daerah Trishuli, 80 kilometer ke barat laut Kathmandu dan antara kawasan paling teruk terjejas, kakitangan perubatan bekerja di khemah kerana bangunan hospital hampir musnah.

Ramai penduduk yang mengalami kecederaan ortopedik masih datang untuk mendapatkan rawatan.

“Kebanyakan mereka memerlukan terapi fizikal untuk pulih secepat mungkin. Tetapi kami tidak memiliki kepakaran atau kemudahan,” kata Dr Rajendra Lama.

Kebanyakannya pesakit miskin dan tidak berpelajaran.


Antara pesakit Lama Pemba Tamang, 45, kudung kaki kanan apabila ia terpaksa dipotong kerana hancur dihempap batu ketika gempa itu.

Menurutnya, dia tidak mempunyai keluarga untuk menjaganya dan bimbang apabila disuruh meninggalkan hospital.

Kanchi Maya, pesakit di sebelahnya, juga mengeluh.

“Saya tidak boleh melakukan apa-apa. Rumah dan ladang saya musnah. Kaki saya patah. Tulang belakang juga cedera. Saya tidak lagi boleh berdiri tegak. Hendak jalan pun sukar. Apa lagi hendak memegang cangkul,” katanya.

Bagi kebanyakan mangsa, walaupun pulih sepenuhnya tidak memberi jaminan kehidupan mereka akan kembali normal.


Bir Bahadur Tamang, 13, hanya patah tulang kering kaki kirinya. Doktor berkata, dia akan pulih sepenuhnya. Tetapi kampungnya musnah sama sekali.

Sebelum ini, dia dan keluarganya menyara kehidupan mereka dengan membantu pengembara asing melancong ke Lembah Langtang.

Bagaimanapun, kemusnahan teruk di kawasan itu bermakna tidak akan ada pengembara atau pelancong asing datang ke kawasan itu lagi.

“Doktor berkata saya boleh berdiri semula selepas tujuh bulan. Tetapi, saya tidak lagi mempunyai rumah, kampung atau sekolah lagi. Saya tidak tahu hendak ke mana selepas ini,” katanya.

Sumber: myMetro