Gambar Hiasan |
KULIM – Umat Islam negara ini yang mengerjakan ibadah haji tahun ini dinasihatkan agar tidak melawat ladang unta serta meminum susu haiwan itu bagi mengelak dijangkiti Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV).
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam turut menasihatkan jemaah haji negara ini supaya meningkatkan tahap kebersihan terutama ketika makan dan minum sepanjang berada di Tanah Suci.
“Jangkitan virus MERS-CoV boleh dielak dengan jemaah sentiasa mengikuti nasihat petugas Tabung Haji untuk kebaikan kesihatan jemaah,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Hospital Kulim Selasa.
Kementerian Kesihatan, menurutnya sentiasa memantau perkembangan virus MERS-CoV dan akan memaklumkan kepada pengurusan Tabung Haji jika terdapat sebarang keperluan.
Terdahulu, Subramaniam diberikan taklimat oleh pihak pengurusan hospital serta menghadiri dialog dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah Hospital Kulim Dr Fauziah Wahab.
Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan akan terus meningkatkan taraf dan kemudahan di hospital-hospital negara ini bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Sementara itu, beliau meminta rakyat supaya tidak membuat sebarang andaian terhadap proses siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dijalankan oleh pasukan petugas khas ketika ini.
“Berilah peluang kepada pihak yang terlibat membuat siasatan secara telus tanpa sebarang gangguan dan tohmahan. Semua pihak sepatutnya berdiam diri,” katanya.
Mengenai krisis yang melanda MIC, Subramaniam yang juga Pemangku Presiden MIC, berkata anggota MIC di semua peringkat semakin memahami isu sebenar yang membelenggu parti itu berikutan penjelasan yang diberikan kepada mereka. – BERNAMA