Mohd Najib Dijangka Fail Saman Terhadap WSJ Pada Selasa Ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
ALOR SETAR Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyahut gesaan mengambil tindakan undang-undang dari ramai pihak apabila dilapor akan memfailkan saman terhadap Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa ini.

Memetik The Star, sumber yang rapat dengan Perdana Menteri itu memberitahu bahawa Mohd Najib akan membuat pengumuman tersebut dalam satu majlis di Semenyih baru-baru ini berhubung laporan mengaitkan beliau dalam dakwaan penyelewengan wang berjumlah RM2.6 bilion.

"Beliau akan memfailkan saman itu melalui peguamnya di Kuala Lumpur," kata sumber berkenaan.

Mohd Najib dijadualkan mengadakan sidang media di Semenyih pada pukul 6.15 petang di Masjid Bandar Runcing semalam.

Pada Jumaat lalu, akhbar bisnes antarabangsa menyiarkan satu artikel yang memetik 'penyiasat yang tidak dinamakan' mendakwa dana hampir AS$700 juta (RM2.63 bilion) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

1MDB menegaskan tiada dana dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Najib pada masa sama turut menafikan sekeras-kerasnya pemindahan sebarang dana yang dikaitkan dengan beliau dan mendakwa wujud komplot politik terancang untuk menjejaskan imej beliau dengan isu tersebut dengan cuba menimbulkan kebencian rakyat padanya.

Pada Sabtu lalu, Setiausaha Politik Mohd Najib, Datuk Muhammad Khairun Aseh memberitahu sebuah akhbar berbahasa Melayu bahawa laporan itu adalah fitnah jenayah.

"Laporan itu sungguh berniat jahat dan tidak berasas dengan sumber yang lemah dan meragukan," kata Muhammad Khairun.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail turut mengesahkan menerima dokumen berkaitan laporan bagi kes tersebut.

Beliau berkata, pihak berkuasa telah menyerbu tiga syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Peguam Negara berkata pasukan tindakan khas menyerbu SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd, tiga syarikat yang didakwa menyalurkan dana ke akaun peribadi Perdana Menteri. -Kedahnews.com