Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin |
ALOR SETAR - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meminta rakyat Malaysia agar bersangka baik dan tidak mengumpat isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berhubung penyebaran sebuah klip video yang kini menjadi bahan umpatan segelintir pihak.
Kata beliau yang juga dikenali sebagai Dr Maza, adalah normal bagi seorang yang bertubuh gempal untuk meminta tolong dipakaikan kasutnya, apatah lagi jika tiada kerusi yang membolehkan individu itu tunduk seperti orang lain.
"Bagi saya, jika seorang yang berusia lagi gempal meminta orang lain tolong mengenakan kasutnya, itu tidaklah ganjil. Apatah lagi jika tempat berkenaan tiada kerusi membolehkan beliau duduk," katanya dalam laman Facebooknya, semalam.
Mufti Perlis itu juga menyifatkan cemuhan berlebihan rakyat Malaysia yang tidak bersangka baik dengan insiden itu, sehingga melabelkan Rosmah dengan perkataan kurang enak, sebagai perbuatan tidak wajar dan biadab.
"Apa yang penting si pembantu sudi membantu. Hulurkan simpati. Janganlah kita kata 'terlebih manja', ataupun 'kalau tidak mampu pakai kasut, jangan pakai' atau seumpamanya. Itu tidak wajar dan tiada simpati. Mungkin juga biadab," tulisnya lagi.
Sebelum ini, sebuah klip video menunjukkan Rosmah dipakaikan kasut oleh seorang anggota polis pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama media di Kompleks Media Karangkraf Khamis lalu menjadi viral di laman-laman sosial.
Tidak peduli dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadhan, ramai warga netizen selamba mengumpat dan mengeji Rosmah selepas menonton video berdurasi 31 saat itu dengan kenyataan-kenyataan nista yang mengaibkan beliau.
Meskipun telah dimaklumkan olah pembantu peribadinya yang menjelaskan bahawa isteri Perdana mMenteri itu memerlukan bantuan kerana sudah berusia dan keadaan lututnya yang tidak kuat, kenyataan itu langsung tidak dipedulikan pihak tersebut. -Kedahnews.com