ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menasihatkan pelajar negeri itu yang akan melanjutkan pelajaran ke Mesir agar tidak melibatkan diri dalam politik negara itu.
Pada masa sama, Mukhriz berkata, ketidakseimbangan politik Mesir ketika ini serta ancaman khususnya daripada gerakan militan, memerlukan pelajar memiliki jati diri yang kental agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah tertentu yang menyeleweng atas nama Islam.
"IS atau ISIL tujuannya untuk mencemar nama baik Islam. Kita tidak mahu terima berita sedih pelajar Kedah terlibat dengan anasir tidak sepatutnya seperti IS," katanya selepas Majlis Penghantaran Pelajar ke Asia Barat di perkarangan Maktab Mahmud, di sini semalam.
Sebaliknya Mukhriz mahu para pelajar itu berpegang kepada tujuan utama mereka iaitu menimba ilmu sebanyak mungkin di sana bagi menyumbang kepada negeri, bangsa dan agama.
"Kita anggap pendidikan ini sebagai jihad terpenting kerana ilmu pengetahuan yang bakal mereka perolehi dapat disumbang kepada masyarakat dalam pelbagai cara," katanya.
Dalam memastikan pelajar tidak terjebak dengan IS, Mukhriz berkata, kerajaan negeri ada menempatkan pegawai khas bagi mengawasi mereka di Mesir.
Beliau juga mahu para pelajar itu menapis dan mengawal apa yang diterima khususnya daripada cara fikiran dan budaya di sana yang akan memberi kesan langsung kepada perwatakan dan pemikiran seseorang pelajar itu.
"Kalau terlalu terbuka kepada unsur kurang baik, akan terdedah kepada risiko dan jangan juga terlalu bergaul sampai terpengaruh dengan masalah yang mereka hadapi... perlu ada batas tertentu yang tidak dilewati," katanya.
Seramai 219 pelajar Kedah dihantar ke Mesir tahun ini, majoritinya di Universiti Al-Azhar. - Bernama