Mula Kempen Stevia Ganti Gula Lepas Hari Raya - Dr Hilmi

BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan bercadang mengadakan program promosi penggunaan stevia sebagai pengganti gula selepas hari raya ini, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata ia akan bermula di Balik Pulau, Pulau Pinang secara besar-besaran dengan mempromosikan penggunaan stevia dalam makanan dan minuman seperti kek, kuih, ais krim dan teh tarik.

“Stevia 200 kali lebih manis tetapi lebih sihat dari gula biasa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pasar Tani Khas Pra Syawal di sini anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Beliau berkata semakin banyak pembuat makanan dan minuman menggunakan stevia iaitu sejenis herba asli yang bebas kalori dan tidak menambah kandungan gula dalam darah.

Beliau menyarankan petani menanam dan memproses stevia termasuk untuk dieksport, kerana stevia sesuai ditanam di negara ini ekoran cuacanya yang panas.

Dr Hilmi berkata Malaysia kini mengimport ekstrak stevia daripada China dan Brazil.

Pasar Tani khas itu dibuka sehingga esok termasuk di Tasek Gelugor, Seberang Perai. – BERNAMA