Nazri Aziz Minta Maaf Jika TMJ Terguris Perasaan

Gambar Hiasan: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz, dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Sultan Ismail
ALOR SETAR - Tindakan diambil Tunku Mahkota Johor (TMJ), Sultan Ismail yang tidak mahu memanjangkan isu pertelingkahan baginda dengan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz disambut baik oleh menteri itu.

Memetik laporan dari portal Malaysiakini, Nazri meminta semua pihak menghormati permintaan dari titah TMJ agar berhenti menghangatkan lagi isu perselisihan faham antara dua figura itu.

“Seperti beliau, saya hanya cakap apa yang saya fikirkan dan jika saya guris perasaannya, saya minta maaf. Tiada sebab peribadi,” kata Nazri.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu turut mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat hari keputeraan kepada Tunku Ismail.

“Ini bulan yang baik dan beliau juga baru menyambut hari keputeraan. Jadi selamat berpuasa saya ucapkan, selamat berbahagia bersama keluarga dan maaf zahir batin,” ujarnya menjernihkan keadaan. -Kedahnews.com