Negara Perlu Penjawat Awam Yang Ada Integriti - MB Perlis

KANGAR – Negara memerlukan penjawat awam berintegriti tinggi dalam mendepani berbagai isu keselamatan semasa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata penjawat awam tidak boleh memandang remeh dan segera menangani isu seperti pemerdagangan manusia, gejala sosial malah berkaitan makanan halal.

“Integriti merupakan dasar kerajaan. Sewajarnya integriti dijadikan cara hidup supaya kita sentiasa sedar setiap tindakan atau pelakuan kita ada batasnya,” katanya pada perhimpunan bulanan pentadbiran kerajaan negeri di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Negeri, Khairi Hassan.

Beliau berkata isu integriti penjawat awam masih dipersoalkan oleh pelanggan dan masyarakat kerana ketidakcekapan mereka menjalankan tugas selain gagal mematuhi peraturan kerja.

“Ketidakcekapan adalah seperti tidak menyiapkan tugasan mengikut tempoh ditetapkan, tidak komitmed, cara berpakaian tidak sesuai dan tidak melayan pelanggan serta minum pada waktu bekerja,” katanya. – BERNAMA