Datuk Jahara Hamid |
GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi
di sini pada Jumaat memerintahkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan
Eng membayar ganti rugi RM500,000 kepada Anggota Dewan Undangan Negeri
(ADUN) Teluk Air Tawar Datuk Jahara Hamid kerana memfitnahnya dengan
gelaran 'nenek rasis'.
Peguam Jahara, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunos ketika dihubungi
memberitahu Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan turut
memerintahkan Lim membayar kos sebanyak RM40,000 kepada anak guamnya
berserta faedah sebanyak lima peratus.
Beliau berkata mahkamah turut memerintahkan Lim yang juga Setiausaha
Agung DAP menarik balik gelaran terhadap Jahara selain mengeluarkan
perintah injunksi menahan Lim daripada mengulangi kata-kata fitnah itu.
Jahaberdeen berkata dalam keputusan itu mahkamah memutuskan apa yang
dituduh oleh Lim selaku defendan dalam kes itu adalah tidak benar dan ia
adalah jelas dapat dilihat pada nota prosiding persidangan Dewan
Undangan Negeri (DUN).
"Selain itu mahkamah turut menyatakan apa yang dikatakan oleh Lim adalah jelas kata-kata yang memfitnah Jahara," katanya.
Pada 2014, Jahara menfailkan saman itu dengan mendakwa Lim pada 10
Disember 2013 dalam sidang akhbar di luar sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) telah menggelarkannya sebagai nenek rasis.
Jahara selaku plaintif turut memohon perintah injunksi bagi
menghalang Lim daripada berterusan mengeluarkan kenyataan fitnah
terhadapnya selain mahu perkara berkenaan tidak berulang.
Jahara turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta relif lain yang difikirkan wajar.
Lim diwakili peguam Datuk N. Mureli.
Sumber: mStar