Nenek Sebaya Tun M Terpaksa Gigih Sara 5 Cicit Di Sungai Petani

Dari kiri, Nurul Najwa, Mohd Shahmi, Radiah dan Mohd Shahril Iqbal yang ditemui di rumah mereka dekat Taman Seri Tanjung, semalam.
SUNGAI PETANI - Usianya sudah mencecah 90 tahun, namun seorang nenek dari Taman Seri Tanjung, di sini, masih perlu menyara lima cicit selepas ibu bapa mereka bercerai kira-kira sembilan tahun lalu.

Radiah Pien berkata, cucunya yang berusia 41 tahun berkahwin dengan seorang pemuda sebelum berpisah dan menyebabkan kesemua lima cicitnya kini berada di bawah jagaannya.

Dakwanya, bapa kepada cicitnya itu menghilangkan diri setelah berpisah manakala ibu mereka dikatakan sering keluar dari rumah.

“Sejak berpisah, bapa mereka langsung tidak menjenguk mereka, manakala ibu mereka pula kerap keluar ada urusan.

“Walaupun ada pencen arwah suami namun ia masih belum cukup untuk menampung perbelanjaan mereka menyebabkan ada antara cicit keluar bekerja. Bagaimanapun, saya tetap menasihati mereka supaya meneruskan pelajaran,” katanya.

Cicit sulung, Nur Syamililia Syafina, 21, bekerja menjual kuih raya manakala Mohd Shahmi Syafiq, 16, bekerja di sebuah restoran dekat Taman Sejati.

Menurut Mohd Shahmi, dia masih berkeinginan untuk bersekolah namun keutamaan mencari pendapatan buat keluarga menyebabkan dia kerap kali ponteng sekolah.

Manakala, adik-adiknya, Shahrul Hakimi, 15, dan Mohd Shahril Iqbal, 12, sudah tidak mahu bersekolah dan beberapa tahun meninggalkan persekolahan selain hanya Nurul Najwa Aiifa, 11, dilihat rajin bersekolah.

“Saya berjanji akan terus ke sekolah selepas ini,” kata Mohd Shahmi ketika dikunjungi Sinar Harian semalam.

Dakwanya, dia tidak tahu ke mana ibunya pergi dan bapa pula tidak lagi ditemui selepas bercerai dengan ibu.

Sumber: Sinar Harian