Nik Abduh Dakwa Wakil Rakyat PAS Tidak Boleh Langgar Sumpah Bai'ah

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz 
ALOR SETAR - Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz memberi amaran bahawa wakil rakyat PAS tidak boleh melanggar sumpah bai'ah (sumpah janji setia) sekiranya mereka berhasrat mahu meninggalkan atau keluar dari parti berkenaan.

Kata anak kepada mantan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu, calon atau wakil rakyat PAS tersebut telah menerima amanah dari parti berkenaan sebagai wakil rakyat dengan janji setia untuk memegang amanah bersama PAS.

"Bai'ah ini tidak boleh dilanggar. Mereka telah mengambil daripada PAS, bukan memberi kepada PAS.

"Jika mahu langgar, hantar balik apa yang mereka ambil daripada PAS. Selepas itu, urusan mereka adalah dengan Allah," tegasnya yang dipetik dari laman Facebook rasmi beliau, semalam.

Tulisan Nik Abduh itu dilihat seolah ditujukan kepada rancangan pemimpin PAS yang tewas dalam pemilihan parti itu pada awal Jun lalu di mana mereka nekad mahu menubuhkan parti baru, Gerakan Harapan Baru.

Ketua Pemuda PAS yang menewaskan penyandang jawatan Ketua Pemuda PAS penggal lalu, Suhaizan Kayat, turut mencabar golongan tersebut yang seolah mahu melanggar sumpah bai'ah itu supaya mencari fatwa yang membenarkan pelanggaran bai'ah berkenaan dilakukan.

"Carilah fatwa dari serata dunia untuk membenarkan perlanggaran bai'ah oleh wakil rakyat PAS dan laksanakan jika berani.. No hal," tulisnya lagi.

Bagaimanapun, Nik Abduh menjelaskan bahawa bai'ah ahli PAS kepada parti itu boleh ditarik balik sekiranya mereka mahu keluar parti tersebut.

"Ia bermaksud ahli memberi kesetiaan mereka kepada PAS.

"Bai'ah ini boleh ditarik balik jika ahli itu mahu keluar PAS. Itu hak ahli. Caranya, tanyalah ahli ilmu," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas. - Kedahnews.com