Nilai Sepasang Baju Raya Bagi 7 Beranak Di Teluk Kechai...

Mohd Rizal (dua, kiri) mencuba pakaian raya baru sambil diperhatikan Mohd Sani (kanan).
KUALA KEDAH - Sehelai baju raya baharu pada Syawal nanti membawa 1,001 makna dalam kehidupan tujuh beranak dari Kampung Sungai Mati, Teluk Kechai, di sini.

Awal Mei lalu, kesempitan hidup dialami pasangan Shukri Che Nik, 56, dan Farinah Said, 55, hingga memaksa mereka sekeluarga makan nasi berlaukkan garam meruntun hati ramai.

Anak ketiga pasangan itu, Mohd Rizal Shukri, 18, berkata, Aidilfitri mereka sekeluarga tidak seindah orang lain, sebaliknya disambut ala kadar sahaja.

Menurutnya, akibat tidak berkemampuan, keluarganya jarang membuat persiapan raya dan tidak membeli baju raya baharu pada tahun-tahun sebelum ini.

“Hanya apabila ada individu tertentu sudi memberi sumbangan pakaian, kami lima beradik berpeluang memakai baju raya baharu,” katanya.

Mohd Rizal berkata, dia dan adik bongsunya, Mohd Amir Syafiq ,15, mencari rezeki sebagai tukang besi demi meringankan beban ayahnya yang mengusahakan sawah padi.

Jelasnya, mereka sekeluarga kadangkala mampu menjamah makanan dan kadangkala terpaksa mengikat perut.

"Jika diberikan pakaian baharu, saya berasa seronok kerana itu sudah cukup memeriahkan sambutan Syawal  kami," katanya.

Keperitan hidup dialami keluarga berkenaan mendapat perhatian Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) apabila memberikan bantuan makanan bulanan bagi meringankan beban mereka.

Ketua Bahagian Korporat JZNK, Mohd Sani Harun berkata, pihak mereka menziarahi kira-kira 10 asnaf dalam program ‘Jejak Asnaf Ramadan’ itu.

Katanya, sumbangan berbentuk pakaian raya, kit solat dan makanan turut diberikan bagi membolehkan asnaf terlibat menyambut Syawal seperti orang lain.