Ops Aidilfitri: Pemandu Kedah Ramai Yang Tidak Ada Lesen - JPJ


GURUN - Tiada lesen memandu dikesan sebagai kesalahan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya di negeri ini bagi tempoh empat hari pertama Ops Hari Raya Aidilfitri 2015.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Amir Onn Mustapha berkata sebanyak 150 saman dikeluarkan kepada pemandu yang memandu kenderaan tanpa lesen.

"Daripada jumlah itu, 107 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal manakala selebihnya melibatkan pemandu kenderaan lain.

"Saya nak nyatakan jumlah mereka yang menggunakan kenderaan tanpa lesen adalah tinggi di Kedah. Kita tidak tahu apa alasannya tetapi mereka berani menggunakan kenderaan walaupun tidak ada lesen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Advokasi Kempen Keselamatan Jalan Raya JPJ Kedah sempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2015, di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gurun arah utara, di sini, hari ini. - Bernama