Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary di sini. - Foto BERNAMA |
ALOR SETAR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Al-Bukhary di sini.
Pada majlis yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta kira-kira 5,000 orang itu, Najib juga menyampaikan sumbangan kepada 200 bekas anggota tentera dan polis.
Turut menghadiri majlis berbuka puasa itu termasuk Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah serta Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Perdana Menteri turut menunaikan solat Maghrib berjemaah, sebelum ke Masjid Zahir untuk menunaikan solat sunat Tarawih dan majlis khatam Al-Quran.
Turut menghadiri majlis itu ialah Pengerusi Jemaah Pemangku Diraja Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.
Sebelum itu pada sebelah petang sejurus tiba di Alor Setar, Najib bersama Mukhriz serta diiringi Ahmad Bashah, meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau dan beramah mesra dengan pengunjung Bazar Ramadan Stadium Darulaman di bandar raya ini.
Beliau turut membeli beberapa juadah berbuka puasa seperti murtabak, air tebu dan kuih-muih di bazar Ramadan itu.
Pengunjung bazar Ramadan begitu teruja melihat kehadiran Perdana Menteri dan kepimpinan negeri, di kawasan tumpuan orang ramai sempena bulan Ramadan ini. – BERNAMA